1. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) ingin menarik perhatian rakyat dan media bahawa pada tahun 2008 ini, terdapat tahanan yang di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tanpa bicara di Kem Tahanan Kamunting (Kemta) selama 6 tahun. Ini kemungkinan satu tempoh yang paling lama dalam sejarah moden Malaysia, sebuah negara demokrasi.
2. Mereka telah ditahan sejak tahun 2001, dengan label yang diberikan oleh pihak berkuasa sebagai ahli “Jemaah Islamiyyah” (JI). Sehingga kini setelah 6 tahun berlalu, tiada sebarang bukti pun dikemukakan. Malah mereka digambarkan sebagai pengganas oleh kerajaan mahu pun media tertentu tanpa mereka berpeluang membela diri. Inilah keistimewaan ISA…lakukan penahanan sewenang-wenangnya tanpa bukti, tanpa bicara dan tanpa ruang suara pembelaan.
3. Sudah menjadi tradisi Kementerian Dalam Negeri yang tidak pernah telus mengenai bilangan tahanan ISA yang sedang ditahan di Kemta pada masa kini. Tiada siapa yang tahu, berapakah bilangan tahanan yang ditahan, berapa lamakah mereka telah ditahan dan berapa bilangan tahanan yang telah dibebaskan. Bahkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang menjadi penjaga hak asasi manusia di Malaysia, tidak dapat memberikan angka tahanan yang sebenar kepada masyarakat umum.
1. Menurut statistik terkini GMI yang diperolehi daripada sumber ahli keluarga tahanan, pada tahun 2008 ini, seramai 10 tahanan akan cukup tempoh 6 tahun penahanan mereka. Kesemua tahanan ini di tahan tanpa bicara termasuk 5 tahanan,yang telah di lanjutkan penahanan mereka untuk dua tahun berikutnya menjadikan semuanya lapan tahun. Sepuluh orang yang dinamakan ahli JI ini adalah tahanan ISA yang paling lama ditahan di bawah ISA di abad ke 21 ini.
2. GMI memandang sangat serius penahanan berlanjutan tanpa alasan kukuh lagi munasabah ini. Sekiranya lebih daripada 40 orang tahanan JI yang ditahan atas alasan serupa telah dibebaskan pada tahun-tahun sebelum ini, apakah ada sebab-sebab lain lagi penahanan dibuat sehingga tempoh yang begitu lama…6…8 tahun?
3. Oleh yang demikian, GMI telah merancang satu kempen khas untuk mereka yang di tahan selama 6 tahun ini yang bertemakan “Cukuplah 6 tahun Mereka Dizalimi” dengan harapan supaya rakyat akan turut bangun memberikan sokongan serta bertindak positif supaya mereka dibebaskan dengan segera. Kempen ini telah pun bermula sejak bulan Februari dan akan berlanjutan hingga bulan Jun 2008.
4. Walaupun pada dasarnya kempen ini diadakan khas untuk mereka yang telah ditahan selama 6 tahun, namun GMI sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa semua tahanan ISA hendaklah dibicarakan di Mahkamah atau dibebaskan sahaja. Seruan ini ditujukan kepada semua tahanan di Kemta, tidak kira samada bangsa Melayu, Cina atau India . Semua tahanan, samada baru ditahan sehari, seminggu, sebulan ataupun yang sudah lebih dari 6 tahun, mestilah dibebaskan dengan segera. Kita tidak boleh rela dengan penahanan tanpa bicara walaupun seminit!
5. GMI merayu kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keadilan agar segera bertindak dan mengambil bahagian dalam kempen utama yang sedang dijalankan sekarang. Makluman akan dibuat dari semasa ke semasa berkenaan dengan aktiviti-aktiviti kempen.
Berikut adalah antara aktiviti utama kempen Bebaskan Tahanan 6 Tahun- ISA.
April - Letter Signing Marathon / Petition On-Line
Mei - Kempen Poskad
Jun - Mogok Lapar dan Vigil
6. Pada hari ini, GMI ingin melancarkan kempen bebaskan tahanan 6 tahun ISA ini dengan satu seruan iaitu jika rakyat telah menunjukkan keberanian menolak kerajaan Barisan Nasional dengan menafikan dua pertiga dalam Parlimen, menolak kerajaan BN di empat Negeri serta mengekal kerajaan PAS di Negeri Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-12, maka bangkitlah dan tunjukkan keberanian sekali lagi dengan mendesak kerajaan membebaskan tahanan 6-Tahun serta semua tahanan yang ditahan di bawah ISA yang zalim!
7. GMI menyeru semua wakil rakyat Pakatan Rakyat yang menang dalam PRU12 baru-baru ini agar turut mengambil bahagian dalam kempen ini dengan mewar-warkan kepada rakyat yang berada di kawasan masing-masing. Sekiranya semua pihak memberikan sokongan, tidak mustahil, pada satu hari nanti, semua tahanan akan dibebaskan, akta zalim itu di mansuhkan dan Kem Kamunting akan segera ditutup.
Mansuhkan ISA, Bebaskan Tahanan ISA, Tutup Kem kamunting.
Setuju !
Cukup meraka dizalimi… sekiranya tiada bukti.. mereka haruslah dibebaskan.. 6 tahun adalah tempoh yang panjang, tempoh yang cukup panjang sehingakan anak pun lupa rupa paras ayahnya yang didalam tahanan !