Samy VelLu Talam Dua Muka

1. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) merasa bertanggungjawab untuk mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan dengan gesaan bekas Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri S. Samy Vellu yang mahukan supaya lima tahanan ISA Hindraf dibebaskan. Gesaan beliau tersebut dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia keluaran hari ini. Lima orang pemimpin Hindraf berkenaan telah ditahan di bawah ISA sejak 13 Disember 2007.

2. Dalam kenyataan itu, Samy Vellu menegaskan pembebasan itu sepatutnya sudah boleh dibuat memandangkan pilihan raya umum sudah pun berlalu dan tidak ada apa-apa peristiwa serius berlaku selepas mereka ditahan di bawah ISA. Beliau juga menggesa supaya R. Kenghadharan yang sakit dan M.Manoharan yang telah di pilih oleh rakyat menjadi ADUN Kota Alam Shah, dibebaskan segera. Beliau menambah, sepatutnya K.Vasanthakumar dan V.Ganabatirau juga turut dibebaskan kerana penglibatan mereka yang tidak terlalu serius. Pada masa yang sama, Samy juga merancang mendapatkan pembebasan untuk P.Uthayakumar yang dilihat sebagai pemimpin terkuat dalam Hindraf.

3. GMI berpendapat walaupun tuntutan begini perlu dilakukan dan diraikan, namun lebih penting lagi ia jelas membuktikan penggunaan ISA sebagai alat politik. Tuntutan Samy untuk membebaskan lima tahanan ISA itu tidak jujur dan berbau politik. Lima tahanan ISA itu tidak pernah diberi hak untuk didakwa di mana-mana Mahkamah dengan bukti-bukti yang jelas. Bagaimana beliau boleh menilai samada penglibatan mereka dalam Hindraf itu membahayakan keselamatan Negara atau tidak sebelum mahupun selepas pilihanraya? Mereka dan puluhan lagi tahanan ISA telah dirampas hak untuk dibicarakan dan membela diri.

4. GMI ingin menegaskan sekiranya Samy Vellu berprinsip dan jujur membuat tuntutan maka sepatutnya kenyataan mendesak mereka dibebaskan telah dilakukan dulu lagi sebelum Pilihanraya Umum ke 12 ataupun semasa 20 tahun beliau menjadi salah seorang Menteri di Kabinet. Beliau juga sepatutnya mendesak kerajaan untuk membebaskan semua tahanan ISA tampa mengira kaum.

5. GMI tetap menyatakan bahawa ISA adalah alat politik parti memerintah yang sentiasa digunakan keatas rakyat untuk memastikan kelangsungan politik mereka. Bukan setakat lima Hindraf, ada 70 tahanan lain yang ditahan tanpa bicara di Kem Kamunting. Malahan pada tahun 2008 ini, ada tahanan ISA yang sudah ditahan lebih daripada 6 tahun .

6. Dalam konteks kenyataan Samy ini, GMI berpendapat, 5 tahanan Hindraf serta 70 tahanan ISA yang lain, mestilah di dakwa di mahkamah yang adil atau kesemua mereka dibebaskan dengan segera.

Mansuhkan ISA
Bebaskan Semua Tahanan
Tutup Kem Tahanan Kamunting.

0 Responses to “Samy VelLu Talam Dua Muka”


  1. No Comments

Leave a Reply




For the best Bangkit.net viewing experience: