TOLAK DASAR SETINGGAN SIFAR: WARISAN POLISI PENCABULAN HAK ASASI MANUSIA YANG DIPERKENALKAN BN

Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) dengan tegasnya menyatakan bantahan
terhadap rancangan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Menteri Besar baru Tan
Sri Khalid yang berazam unuk meneruskan Dasar Setinggan Sifar Barisan
Nasional. Dasar Setinggan Sifar BN adalah adalah satu dasar yang kejam yang
diperkenalkan pada tahun 2005 ketika Datuk Khir Toyo menjadi Menteri Besar
Selangor. Dasar ini pada asasnya tidak berniat untuk menyelesaikan masalah
perumahan rakyat berpendapatan rendah Selangor tetapi lebih merupakan satu
kempen untuk membantu Pemaju kaya yang mahu merampas tanah yang sudahpun
dimajukan dan diusahakan oleh Peneroka bandar untuk beberapa dekad.

Polisi ini telah memusnahkan ratusan rumah peneroka bandar di seluruh
negeri Selangor sejak ianya diperkenalkan. Rata-rata hak peneroka bandar
dinafikan dan mereka tidak diberikan pampasan yang wajar atau perumahan
alternatif yang tetap dan sesuai. Polisi ini juga turut membawa kepada
penyalahghunaan kuasa oleh polis, RELA dan Majlis Perbandaran dimana agensi
kerajaan ini digunakan untuk mengusir secara paksa dan kejam para peneroka
dari rumah mereka .

Malah ada segelintir exco dan juga ahli Parlimen yang dipilih pernah
terlibat semasa mempertahankan rumah peneroka semasa perobohan di Selangor.
Para Peneroka Bandar juga telah memainkan peranan penting dalam memastikan
kemenangan ramai ADUN dan Ahli Parlimen dengan harapan mereka memastikan
polisi pengusiran secara paksa dapat dihentikan. Adalah diharap para MB dan
exco yang baru dilantik tidak terlupa perjuangan Kampung Berembang di
Ampang, Kampung Papan di Pandamaran dan juga Kampung Rimba Jaya?

Keputusan untuk meneruskan Polisi Setinggan Sifar ini adalah satu berita
yang amat mengejutkan semua peneroka bandar dan kumpulan masyarakat dan
aktivis yang terlibat dalam pejuangan perumahan selama ini. Polisi ini
adalah simbol keangkuhan Kerajaan BN terhadap rakyat Marhaen dan ia patut
dikuburkan bersama Kerajaan negeri yang zalim.

Kerajaan negeri Selangor harus berlaku adil kepada rakyat dengan memberikan
rumah alternatif kepada semua peneroka bandar yang menghadapi masalah
perumahan di seluruh negeri Selangor. Kesilapan pihak pemerintah yang dahulu
tidak harus diteruskan dan kerajaan negeri baru ini harus berkhidmat
mengikut aspirasi rakyat dan bukanya mengejutkan mereka dengan berita
sebegini.

Kami dari JERIT menuntut kepada kerajaan Negeri Selangor dengan segera:

1. Untuk membatalkan Dasar Setinggan Sifar dan menggantikannya dengan

Dasar Perumahan Rakyat untuk Semua untuk menonjolkan sikap Kerajaan negeri
adalah perumahan untuk semua dan bukan berniat untuk memaksa pengusiran
2. Kerajaan Negeri juga perlu mengambil tindakan yang sewajarnya untuk

menyelesaikan masalah perumahan peneroka bandar di Selangor dimana ada
Peneroka yang masih tinggal di dalam khemah
3. Batalkan semua notis pengusiran yang dikeluarkan oleh Kerajaan

sebelumnya dengan serta–merta dan menilai balik dan menbuat kajian
semula.
4. Memastikan Kerajaan Tempatan tidak akan lagi menggunakan

undang-undang zalim seperti Ordinan Darurat Pembersihan Setinggan 1969 untuk
mengusir masyarakat peneroka bandar.
5. Memahami dan mengambil kira semua Deklarasi Hak Asasi Manusia

Antarabangsa mengenai perumahan, cadangan SUHAKAM mengenai isu hak perumahan
dan tuntutan-tuntutan JERIT kepada Kerajaan Negeri sebelum ini
6. MB mengadakan perbincangan dengan kumpulan masyarakat, penduduk

dan aktivis-aktivis yang terlibat dalam isu perumahan untuk memahami isu
sebenar sebelum membuat sebarang keputusan.

Jangan Khianati Peneroka Bandar ! Hak Peneroka Bandar Harus Dibela!

Disediakan oleh,

Nalini E
Sekretariat JERIT

Sila hubungi Parameswary untuk maklumat lanjut – 013-6408159


Community Development Centre (CDC)
No.72B, Taman Sri Langat
Jalan Reko, Kajang, Selangor
Tel/Fax: 03-87370766

0 Responses to “TOLAK DASAR SETINGGAN SIFAR: WARISAN POLISI PENCABULAN HAK ASASI MANUSIA YANG DIPERKENALKAN BN”


  1. No Comments

For the best Bangkit.net viewing experience: