11 Jan 2008, Seremban - Pagi ini, Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hassan telah mengadakan satu perjumpaan dengan 44 bekas pekerja Ladang Kirby Carotina.Perjumpaan dengan Menteri Besar ini diadakan ekoran daripada demontrasi besar-besaran yang dilakukan oleh bekas pekerja ini pada 27 Disember 2007 di depan pejabat MB yang menuntut MB pengerusikan satu mesyuarat antara penduduk dan Sime Darby serta publisiti yang meluas di media massa. Menteri Besar yang tidak melayan surat demi surat yang dihantar penduduk sebelum ini, akhirnya tunduk kepada penduduk apabila mereka turun ke jalan raya menuntut hak.
S.Arutchelvan dari Parti Sosialis Malaysia dan E.Parameiswary dari JERIT tidak
dibenarkan turut serta dalam perjumpaan tersebut. Walaubagaimanapun delegasi pekerja yang diketuai oleh K.Muniandy dan P.Shanmugam telah mengetengahkan tuntutan mereka untuk mendapatkan rumah dan kuil di tempat yang sama, pampasan yang adil serta 5 ekar tanah yang dijanjikan oleh Dato Rajagopalu kepada penduduk.
MB yang tidak begitu mengambil berat akan tuntutan mereka, hanya menawarkan rumah majlis perbandaran (town council house) di Senawang yang berpuluh-puluh kilometer jauh dari tempat asal mereka. Untuk isu 5 ekar tanah pula MB kata ia adalah tanah Sime Darby Plantations dan pihak Kerajaan Negeri tidak boleh buat apa-apa. Ini menyebabkan para pekerja keluar dari rundingan sebagai tanda bantahan terhadap MB yang tidak mahu memenuhi tuntutan mereka.
Walaupun keputusan MB ini tidak memihak kepada penduduk, namun apabila diseru oleh S.Arutchelvan kepada MB di luar bilik mesyuarat akhirnya, MB telah memberi jaminan kepada penduduk yang mereka tidak akan diusir keluar dan kuil tidak akan dirobohkan oleh Sime Darby Plantations.
Perjumpaan ini turut sertai oleh wakil majikan En Fauzi, Pegawai Perhubungan Am dan Haji Kamarul, Pengurus Ladang Kirby/Carotina serta Chantakumar Setiusaha Kesatuan Kebangasaan Pekerja Ladang Negeri Sembilan. Sebelum ini, Sime Darby dalam satu surat yang bertarikh 26/12/07 kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) telah menolak ke semua tuntutan penduduk dan akan meneruskan niat untuk mengusir dan merobohkan kuil.
Walaupun Menteri Besar tidak dapat menyelesaikan masalah penduduk, namun tekanan demi tekanan yang diberikan oleh penduduk ini telah berjaya menggoyangkan Kerajaan Negeri Sembilan yang selama ini cuci tangan dalam isu mereka. Perjuangan enam tahun bekas pekerja ladang yang diberhentikan kerja dengan tipu muslihat Sime Darby plantationas ini tidak akan berhenti di sini.Mereka tetap akan meneruskan perjuangan demi hak mereka.
Parames E
Bagi pihak JERIT
–
Community Development Centre (CDC)
No.72B, Taman Sri Langat
Jalan Reko, Kajang, Selangor
Tel/Fax: 03-87370766
0 Responses to “Kerajaan Negeri Tiada Kuasa Terhadap Sime Darby: Isu Pengusiran Pekerja Ladang Kirby/Carotina”