PENAHANAN PIMPINAN HINDRAF DI BAWAH ISA ADALAH ZALIM DAN KEJAM

Tindakan kerajaan menahan lima pimpinan Hindraf di bawah ISA merupakan satu lagi perbuatan kejam yang dilakukan ke atas rakyat Malaysia. Setelah mereka dinafikan hak dan kebebasan untuk berhimpun secara aman tempoh hari, kali ini mereka ditahan pula di bawah akta zalim ISA.

Rakyat negara ini sepatutnya diberikan peluang untuk menyatakan segala ketidakpuasan hati dan meminta pihak berkuasa agar lebih prihatin ke atas semua permasalahan yang melanda tidak kira sama ada mereka adalah bumiputera ataupun tidak. Semua rakyat harus mendapat keadilan dan hak mereka sejajar dengan konsep demokrasi iaitu daripada ‘rakyat untuk rakyat’.

Penahanan P. Uthayakumar, M. Manoharan, R. Kenghadharan, V. Ganabatirau dan T. Vasanthakumar telah menunjukkan bahawa sudah tiada langsung ruang dan peluang untuk rakyat menyatakan hak dan menyuarakan keperitan hidup mereka. Setelah hampir 50 tahun negara kita merdeka, rakyat negara ini masih ramai yang terpinggir akibat dasar pemerintahan yang berat sebelah dan tidak adil. Dan, setelah rakyat bangkit untuk menyatakan hak mereka, sekali lagi mereka dizalimi dengan menjadi mangsa undang-undang rimba iaitu ISA.

Dalam Akta ISA, seseorang itu akan ditahan dengan tanpa bicara. Ini telah mencabul has asasi manusia iaitu hak untuk menegakkan kebenaran, hak untuk didakwa dan berbicara di mahkamah terbuka, dan hak untuk mendapatkan bantuan peguam. Malaysia sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sepatutnya menghormat Universal Declaration of Human Rights (UDHR) dan tidak sepatutnya terus menggunakan Akta ISA yang mencabul hak asasi manusia.

Justeru, kami sekali lagi menyatakan komitmen dan harapan kami agar Perdana Menteri Malaysia bersedia untuk bertemu dengan semua pimpinan NGO dan parti-parti pembangkang seperti yang dibacakan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim kelmarin. PM harus bersedia untuk berlapang dada dan menerima pendapat pihak lain dalam menguruskan situasi negara yang agak kelam kabut saat ini. Tindakan menahan dan menzalimi rakyat tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah pun.

Kami juga menggesa agar semua tahanan ISA dibebaskan termasuklah lima pimpinan Hindraf yang baru ditahan semalam. Semua penahanan tanpa bicara adalah suatu penahanan yang tidak sah, berniat jahat dan bermotifkan kepentingan politik pihak berkuasa semata-mata.

Kenyataan Akhbar Bersama;

Suaram JB,

Semparuthi Thorlagal

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

0 Responses to “PENAHANAN PIMPINAN HINDRAF DI BAWAH ISA ADALAH ZALIM DAN KEJAM”


  1. No Comments

Upcoming Events

For the best Bangkit.net viewing experience: