Hari ini (26 Ogos), 10.30 pagi, Dataran Merdeka, tapak pengisytiharan kemerdekaan TAnah Melayu ataupun Malaya pada tengah malam 31 Ogos 1957, kelihatan warna- warni dengan pelangsungan raptai sempena Kemerdekaan ke-50 negara. Di satu sudut pulak lebih 500 orang dari pelbagai lapisan masyarakat mula mengisi tempat untuk menyatakan bantahan mereka terhadap perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas(FTA) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Rundingan FTA dengan Amerika Syarikat telah dilancarkan pada 8 Mac 2006 oleh kerajaan kita. FTA merupakan suatu senjata canggih Amerika untuk menakluk dan menguasai sepenuhnya ekonomi sesuatu negara. Dalam masa kebanggaan merayakan kemerdekaan ke-50 negara, kerajaan secara senyap- senyap sedang membuat perundingan untuk menjual ekonomi negara kepada korporat Amerika.
Adakah kita ingin dijajah semula dan kembali ke zaman sebelum merdeka?
Inilah soalan yang ditanya oleh lebih 500 rakyat Malaysia yang berkumpul pagi ini di Dataran Merdeka. Petani, pekerja ladang, pekerja kilang, pelajar , anak muda dan aktivis dari Kedah, Perak, Kelantan Penang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan telah menyertai perarakan hari ini dari Dataran Merdeka ke Jalan Tunku Abdul Rahman ( Jalan TAR). Pilihan Dataran Merdeka sebagai tempat permulaan perarakan Membantah FTA US-Malaysia amat bernas sebagai tanda simbolik bahawa kemerdekaan negara yang diperolehi hasil titisan darah pejuang tanahair akan digadaikan semula melalui Perjanjian Perdagangan Bebas US-Malaysia ini.
Sepanjang perjalanan ke Jalan TAR, laungan slogan “Tolak Tolak, Tolak FTA” , “Kaum tani, hilang tanah”, Kaum pekerja hilang kerja” ! Rafidah Agen Amerika!di laungkan. Setibanya di Jalan Tunku Abdul Rahman, satu barisan piket yang berhadapankan jalan raya dibentuk. Baner-baner membantah FTA US-Malaysia di pegang dan laungan slogan membantah FTA dibuat dengan lebih semangat dan intensif. .
Program menjadi lebih bersemangat dengan ucapan wakil -wakil pekerja dan juga ahli organisasi dalam Gabungan Rakyat Membantah US-Malaysia FTA seperti Kumpulan TERAS dari Kedah, Parti Keadilan Rakyat Malaysia, Wakil Gabungan Anak Muda & Pelajar, Wakil Mtaag+ dan ramai lagi. Wakil pekerja kilang, petani, pekerja ladang, peneroka bandar , mahasiswa dan aktivis telah menegaskan bahawa perundingan FTA harus dihentikan sekarang juga untuk menghalang penjajahan dan penindasan kapitalis- kapitalis Amerika terhadap masyarakat Malaysia.
Wakil Pekerja Kilang En. Nathan dari Perak telah mengatakan bahawa ” Pekerja KIlang akan terus ditindas dan lebih dieksploitasi oleh majikan sekiranya US-FTA ini ditandatangani. Ini adalah kerana Hak pekerja tidak terjamin dibawah US-Malaysia FTA malah akan lebih terhakis. Kerajaan Malaysia sudahpun mula mengambil langkah-langkah untuk menggembirakan kapitalis Amerika dengan meminda Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja demi mengurangkan hak pekerja”.
Saudara Arutchelvan , Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia , pula mengatakan, Kerajaan Amerika tidak akan dapat membuat agendanya di Malaysia kalau orang di Malaysia tidak benarkan. Masalahnya , kita ada tali barut di negara kita sendiri yang menjula Negara kita ke Amerika. Ini kita harus melawan. Kerajaan Malaysia harus berhenti menjadi tali barut kepada Amerika”.
En Ziydi , wakil petani dari Kedah telah mengatakan kalau FTA US-Malaysia ditandatangani , maka petani akan merana, Kerajaan Malaysia tidak boleh sama sekali tandatangan FTA dengan US , kerana ini akan menggadaikan kemerdekaan negara kita kepada Amerika.
Setelah semua ucapan didengari, program hari diteruskan dengan satu persembahan dari Gabungan Anak Muda & Pelajar , JERIT yang menggambarkan Datuk Seri Rafidah Aziz bersama kapitalis Amerika melakukan perundingan FTA secara ‘romantik’ iaitu suka sama suka dan diikuti dengan penandatanganan FTA dengan US yang mebawa kepada rantai penindasan diikat di tangan rakyat Malaysia oleh korporat Amerika. .
Protes ini diakhiri dengan bacaan bersemangat deklarasi oleh wakil Gabungan Rakyat Membantah FTA US-Malaysia, Saudari Latheefa yang menuntut Kerajaan dengan serta merta menghentikan Rundingan FTA dengan Amerika dan Jangan Gadaikan Kemerdekaan 50 tahun ini yang merupakan hasil titik peluh datuk, nenek , ibu dan bapa kita. . Suara rakyat yang bergema di Kuala Lumpur hari ini, jelas menunjukkan bantahan kemarahan rakyat terhadap kerajaan Malaysia yang hanya mementingkan agenda kapitalis kaya dan bukannya rakyat yang memilih mereka!
Bantahan terhadap FTA akan berterusan dengan berbagai cara sehingga rundingan diantara Kerajaan Malaysia dan US diberhentikan. Pada 30 /08/2007 , poster membantah FTA US-Malaysia yang bertemakan Jangan Gadaikan 50 tahun Kemerdekaan akan dinaikkan diseluruh negara untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia, sedangkan kita menyambut 50 tahun merdeka , negara kita akan kembali ke zaman penjajahan sekiranya US-Malaysia FTA ditandatangani
Nota : Poster Bantahan FTA bertemakan Jangan Gadaikan Kemerdekaan 50 tahun telah dikeluarkan oleh Gabungan Rakyat Membantah FTA. Sekiranya anda inginkan poster ini untuk dilekat dikawasan anda untuk memberi kesedaran mengenai impak FTA , hubungi Kohila : 019-2275982.
JANGAN GADAIKAN KEMERDEKAAN MALAYSIA: HENTIKAN PERUNDINGAN FTA US-MALAYSIA!
Dalam masa rakyat Malaysia dengan bangga merayakan 50 tahun kemerdekaan , kerajaan kita dengan senyap-senyap dalam proses menjual kemerdekaan kita kepada peniaga dan korporat Amerika dengan berunding untuk menandatangani Free Trade Agreement ( FTA) dengan Amerika. Seperti yang kita semua sedia maklum dan juga mengikut pengalaman negara lain, FTA ini adalah salah satu senjata Amerika untuk menjajah ekonomi sesebuah negara.
Setelah 50 tahun merdeka, dan dengan perdagangan antarabangsa yang menguntungkan apa rasional kerajaan Malaysia untuk menandatangani Malaysia-US FTA ini? Peningkatan perdagangan dengan Amerika ? Tetapi bukankah kita sekarang pun sudah mendapat untung 24 billion setahun melalui perdagangan dengan Amerika? Tidakkah kerajaan sedar bahawa apabila FTA ini ditandatangani import barangan Amerika akan meningkat dan eksport barangan kita ke Amerika akan berkurangan? Keadaan ini terbukti berlaku di negara-negara lain yang menandatangani FTA dengan US contohnya Mexico, Canada dan lain-lain negara di benua Afrika.
Bukan itu sahaja dengan menandatangani FTA, kita akan kehilangan :
* Pekerjaan : Pekerja Malaysia akan kehilangan pekerjaan kerana barangan yang dikeluarkan disini tidak akan dapat menandingi barangan Amerika yang akan lebih murah. Maka kilang-kilang disini akan ditutup, dan RAMAI RAKYAT MALAYSIA AKAN MENGANGGUR. Menurut kajian Kesatuan Eropah dan pengalaman Ecuador, kadar pengangguran lebih tinggi juga menyebabkan upah turun bagi mereka yang masih mempunyai pekerjaan kerana mereka bimbang kehilangan pekerjaan mereka kepada yang menganggur.
* Hak Pekerja : Ha Pekerja tidak terjamin dibawah FTA malah akan lebih terhakis , kerana kerajaan akan melonggarkan undang-undang berkaitan hak pekerja untuk menggembirakan pelabur Amerika.
* Kedaulatan Negara : Setelah US-FTA ditandatangani, maka segala undang-undang yang digubal di Malaysia tidak boleh bercanggah dengan kehendak korporat Malaysia ataupun mengurangkan keuntungan korporat Amerika. Jika ia dibuat juga, syarikat Amerika boleh menyaman kerajaan Malaysia di mahkamah dan kerajaan kita hanya ada dua pilihan iaitu menarik balik undang-undang tersebut ataupun membayar gantirugi yang tinggi.
* Pertanian : Dengan adanya US FTA, tarif untuk barangan pertanian dari Amerika akan dikurangkan kepada sifar . Maka, Malaysia akan dibanjiri oleh hasil tanaman US yang amat murah berbanding dengan harga tanaman Malaysia. Ini akan menyebabkan petani Malaysia mengalami kerugian tinggi dan tidak dapat bertani lagi. Dalam keadaan ini, petani kita akan merana .
* Jaminan Keperolehan Makanan : Dibawah US FTA, dijangkakan import barangan makanan dan pertanian dari US akan meningkat terutamanya beras yang merupakan makanan ruji kita. Dalam keadaan ini pertanian akan terjejas dan kita akan bergantung kepada US untuk makanan. Keadaan ini tidak baik kerana makanan adalah keperluan asas sesebuah negara dan kita tidak boleh mengadaikan jaminan keperolehan makanan ( food security) demi perdagangan.
* Akses kepada Ubatan Murah: Lebih banyak ubat akan dipatenkan jika FTA AS ditandatangani. Pempatenan memberi hak eksklusif kepada sesebuah syarikat (satu monopoli) untuk menghasilkan atau mengimport ciptaan baru dan juga untuk menetapkan harga yang tinggi untuk ubat eksklusif tersebut. Kedua, jika FTA AS ditandatangani, tempoh paten akan tahan lebih lama daripada tempoh 20 tahun yang diwajibkan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Ini bermakna pesakit terpaksa menunggu lebih lama sebelum monopoli paten ditamatkan dan versi ubat generic yang lebih murah boleh dibeli. Dalam keadaan ini kos ubat akan meningkat dan akses kepada ubatan murah akan terhad.
* Industri Domestik : Mengikut syarat perjanjian FTA, kerajaan Amerika mahu semua tarif Malaysia ke atas produk perkilangan dikurangkan kepada sifar. Maka barangan yang dikeluarkan oleh US akan menjadi lebih murah dan memberi persaingan kuat kepada keluaran tempatan. Banyak kilang dan syarikat-syarikat tempatan yang kecil dan sederhana akan kehilangan pasaran dan mengalami kerugian. Ini akan menyebabkan industri domestik terancam. Keadaan yang sama juga akan berlaku di sektor perkhidmatan dimana pemberi perkhidmatan domestik akan terjejas.
Dengan kehilangan kesemua ini, negara kita akan balik ke keadaan sebelum merdeka dimana penjajah mengawal, politik, ekonomi dan sosial negara kita. Kita akan balik ke zaman penjajahan. Adakah kita mahu ini berlaku ?
Tentunya tidak. Setelah kita sebagai rakyat Malaysia , bertungkus lumus untuk 50 tahun yang lepas untuk membina negara ini , setelah generasi datuk, nenek, ibu dan ayah berjuang dan berkorban untuk memperolehi kemerdekaan untuk negara ini, pastinya kita tidak mahu mengadainya kepada korporat dan kerajaan Amerika! Maka sebagai Rakyat Malaysia , kami membantah Rundingan US-Malaysia FTA ini.
Kami dari Gabungan Rakyat Membantah FTA US-Malaysia menuntut supaya kerajaan Malaysia dengan segera menghentikan rundingan dengan FTA dengan Amerika serta-merta. Kami tidak mahu dijajah lagi !
HENTIKAN RUNDINGAN US-MALAYSIA FTA DENGAN SEGERA! Jangan Jual Rakyat Malaysia kepada Amerika ! Jangan Gadaikan Kemerdekaan Kami!
Untuk maklumat lanjut : Kohila ( 019-2275982)
0 Responses to “KERAJAAN MALAYSIA : JANGAN JADI TALI BARUT AMERIKA!! LAUNGAN RAKYAT MEMBANTAH FTA US- MALAYSIA”