Tindakan Menteri Sumber Manusia Dato’ Fong Chan Onn yang secara senyap-senyap membentangkan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja dan Perhubungan Perusahaan yang amat mendiskriminasi pekerja pada 3 Julai 2007 di Parlimen amat dikesali oleh Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT).
Justeru itu, JERIT telah menjemput wakil-wakil daripada kesatuan sekerja dan parti politik untuk satu persidangan akhbar bagi meluahkan bantahan keras terhadap perbuatan keji pihak Menteri Sumber Manusia. Berikut ialah pandangan yang diberikan dalam persidangan ini:
Saudara Arutchelvan, selaku Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia mengatakan bahawa tindakan Menteri Sumber Manusia adalah selaras dengan polisi Neo Liberal yang sedang diterapkan perlahan-lahan oleh pihak kerajaan. Contohnya seperti Perjanjian FTA, penswastaan perkhidmatan air, perkhidmatan swasta di 2 buah hospital kerajaan yang semakin menekan kehidupan pekerja.
Saudara Arutchelvan memberitahu antara pindaan yang akan dilakukan ialah had gaji tertunggak kepada 24 bulan sahaja walaupun pada realitinya hampir 75% kes perhubungan perusahaan berjalan lebih daripada 2 tahun. Kedua, beliau berkata, pekerja dipecat hampir dengan umur persaraan tidak akan mendapat pampasan kehilangan pendapatan (loss of future earnings), jelas menunjukkan tindakan kerajaan yang bersekongkol dengan majikan untuk mencabul hak pekerja secara sepenuhnya.
‘Kerajaan melaung-laungkan ajaran Islam Hadhari tetapi langsung tidak mengikutinya’, kata saudara Mohd Dauzkaply Nor, wakil dari Kesatuan Sekerja Kakitangan Bank (NUBE). Menurut beliau, NUBE dengan sepenuh tenaga mengecam pindaan Undang-undang ini oleh pihak Kementerian tanpa berunding dengan pihak MTUC terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen. Ini membuktikan bahawa kerajaan tidak telus dan mengabaikan kebajikan pekerja sewenang-wenangnya.
Saudara Selvam, selaku wakil Kesatuan Pekerja -Pekerja Flextronic Manufacturing dan Pegawai Perhubungan Perusahaan (IRO) MTUC memberikan satu gambaran bahawa pindaan Akta Kesatuan Sekerja memberikan majikan lebih banyak ruang untuk menghancurkan kesatuan dan pekerja dengan mudah. Pindaan Akta juga telah menambahkan beban kepada pekerja di dalam usaha membentuk kesatuan atau memperjuangkan haknya di Mahkamah Perusaahaan.
Saudari Sivaranjani dari Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan, JERIT menegaskan bahawa tindakan kerajaan amat menjengkelkan kerana memungkiri janjinya bagi pengiktirafan automatik bagi Kesatuan semasa dialog Timbalan Menteri Sumber Manusia bersama JERIT pada 19 April 2006. JERIT bertindak menunjukkan bantahannya dengan mengeluarkan risalah mengenai pindaan ini yang sedang diedarkan di kalangan pekerja. Satu petisyen tandatangan telah dilancarkan dan berjalan dengan giat untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi membantah pindaan yang akan dibentang bagi bacaan kedua di Parlimen pada 27 Ogos 2007.
JERIT juga akan mengadakan bantahan di hadapan Kementerian Sumber Manusia pada 22hb Ogos 2007 bersama dengan NGO dan kesatuan lain. Dengan ini JERIT ingin menegaskan bahawa pindaan akta ini harus diberhentikan dengan segera.
Hidup Perjuangan, Hidup Pekerja!.
Disediakan oleh,
Madhavi S
0 Responses to “Gubal Akta Gaji Minima - Tak Mahu, Longgar Akta -Ok”