Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan (GPKK/JERIT), menyokong penuh seruan MTUC untuk mengadakan piket kali kedua pada 8/8/2007 akibat keengganan pihak Kerajaan untuk mengimplementasikan Gaji Minima RM900 dan COLA RM300 untuk pekerja swasta. Oleh itu, GPKK/JERIT menggesa semua warga pekerja swasta untuk turun sama-sama dan menyokong tuntutan Akta Gaji Minima.
Sejak MTUC mengemukakan tuntutan Akta Gaji Minima pihak Kerajaan hanya memberikan alasan demi alasan. Pihak Kerajaan hanya mempertahankan kepentingan pelabur asing dan para majikan sahaja. Sebaliknya kepentingan dan kebajikan pekerja swasta terus digadaikan atas nama ekonomi negara.
JERIT juga sejak tahun 2003 lagi telah meminta pihak Kerajaan untuk mengubal Akta Gaji Minima RM900 melalui kempen tandatangan. Seterusnya, pada tahun 2005, GPKK telah mnyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Fong Cban Ong berhubung Gaji Minima. Pada 21 September 2006, sebanyak 50,000 poskad tuntutan dan memorandum diserahkan kepada YAB Perdana Menteri meminta kerajaan menggubal Akta Gaji minima. Namun tiada apa-apa tindakan dari pihak Kerajaan.
Pihak Kerajaan harus sedar bahawa kenaikkan gaji yang diberikan sehingga 35% kepada kakitangan awam akan pasti menyebabkan kenaikan harga barangan dan kos hidup. Baru-baru ini, sejurus pengumuman kenaikan gaji bagi sektor awam, harga barang mula naik seperti harga tepung. JERIT menyokong penuh tindakan Kerajaan yang membawa kebaikan kepada 1.2 juta pekerja sektor awam. Tetapi bagaimana dengan jumlah 90% jumlah gunatenaga yang bekerja di sektor swasta. Bagaimana pekerja yang berpendapatan rendah ini akan menyara kos hidup yang akan melambung naik.
Jadi adalah wajar dan tepat masanya untuk pihak Kerajaan menggubal Akta Gaji Minima RM900. Gaji minima adalah paras bayaran yang minimum yang ditentukan oleh undang-undang bagi sesuatu kerja yang dilakukan. Gaji minima adalah bertujuan untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dari terus dieksploitasi oleh pihak majikan dan akan membantu pihak kerajaan membasmi kemiskinan.
Justeru itu, GPKK/JERIT menyeru kepada semua warga pekerja dan warganegara yang prihatin untuk sama-sama turun pada 8 Ogos sebagai tanda sokongan terhadap tuntutan AKTA GAJI MINIMA RM900. Buktikan bahawa tuntutan ini mempunyai sokongan ramai dan Kerajaan harus berhenti dari terus memberikan alasan.
saya juga tertindas. gaji rm800..da 6 bulan bekerja masih tak ada kenaikan sedangkan pekerja baru masuk kerja sudah mendapat kenaikan gaji sebayak rm200.walhal tugas kerja juga sama.bukan itu saja blum pun mendapat confirmation potongan epf dan socso telah dibuat.bagaimana saya nak hidup dengan hanya bermodalkan rm700 sebulan??????????????