“Sime Darby usir kami dari Ladang! Kami mahu rumah!MB campurtangan dalam isu rumah kami! “…inilah laungan penduduk-penduduk Ladang Kirby dan Carotina yang telah berkumpul pada 25 Julai 2007 untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Negeri Sembilan.
Lebih kurang 100 orang penduduk Ladang yang berkumpul di hadapan Wisma Negeri Sembilan sejak 10.30 pagi telah menyeru Menteri Besar YAB Dato Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hassan untuk hentikan pengusiran paksa masyarakat pekerja ladang di Ladang Kirby & Carotina, dan implementasi skim perumahan untuk pekerja ladang tersebut. Menteri Besar diseru menggunakan kewibawaan politiknya untuk mendesak Sime Darby menunaikan tuntutan pekerja Ladang untuk perumahan tetap.
Bekas pekerja ladang Kirby dan Carotina yang telah menduduki ladang ini lebih daripada 100 tahun iaitu untuk 4 generasi ini, telah ditipu, diperalatkan dan dimangsakan oleh majikan mereka Sime Darby Plantation Sdn. Bhd. Pada tahun 2001, apabila penanaman semula iaitu perubahan tanaman dari getah ke Kelapa Sawit di lakukan oleh Sime Darby, seramai 108 pekerja dihentikan kerja dan mereka dijanjikan kerja semula diladang Kelapa Sawit dan dibenarkan untuk terus menduduki kuarters ladang. Tetapi pekerja ladang tidak ditawarkan kerja malahan, Sime Darby telah membawa masuk pekerja asing untuk bekerja di Ladang itu. Pekerja juga telah diberi 3 notis oleh pihak majikan untuk keluar dari ladang.
Memorandum hari ini diterima oleh, Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Dato Peter Lai, Exco Sumber Manusia, Pengaduan Awam dan Alam Sekitar. Pada asasnya Dato Peter Lai membela tindakan Sime Darby dengan mengatakan bahawa, walaupun pekerja telah dihentikan kerja pada tahun 2001, mereka dibenarkan menduduki kuarters ladang dengan segala kemudahan air dan elektrik. Beliau juga menyatakan bahawa Kerajaan Negeri tiada kuasa untuk memaksa pihak swasta untuk membina rumah untuk pekerjanya.
Walaupun pendiriannya lebih memihak kepada Sime Darby, namun selepas penerangan situasi dan masalah sebenar oleh delegasi pekerja, Dato Peter telah bersetuju untuk membawa isu kepada Menteri Besar dan beliau akan mengkaji aduan pekerja serta cara menyelesaikan masalah perumahan pekerja.
Wakil pekerja telah menekankan bahawa, masalah diladang berada dalam keadaan yang genting, dengan habisnya tempoh notis Sime Darby pada 30hb Jun yang lalu yang menuntut pekerja kosongkan rumah. Kini Sime Darby menggunakan pelbagai taktik memaksa pekerja keluar daripada ladang tersebut. Justeru itu, wakil pekerja menuntut supaya Kerajaan Negeri mengaturkan suatu mesyuarat dengan Sime Darby dengan kadar yang segera.
Perjuangan penduduk Kirby/Carotina tidak akan berhenti sehingga mereka mendapat satu keputusan yang baik untuk masalah perumahan mereka. Mereka hanya meminta satu rumah untuk tinggal. Mereka akan kembali lagi ke Wisma Negeri sekiranya tiada sebarang jawapan daripada Menteri Besar.
Apa gunanya kemerdekaan 50 tahun, sekiranya masyarakat ladang yang membawa pembangunan kepada negara ini terpaksa turun ke jalan raya untuk memenuhi kemudahan asas mereka seperti perumahan?
Nalani.M
Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
0 Responses to “Menteri Besar diseru campur tangan! Perumahan untuk pekerja Ladang Kirby/Carotina”