Dato’ Sri Rafidah Aziz Tergugat dengan Kempen Bantah FTA

Hari ini (Ahad, 24/06/2007) lebih 30 ahli dari Gabungan Rakyat Membantah US-Malaysia FTA telah turun ke kawasan Kuala Kangsar , kawasan Parlimen Dato’ Sri Rafidah Aziz , Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mengedar risalah membantah FTA. Wakil-wakil gabungan yang kebanyakannya terdiri daripada ahli JERIT dan Parti Sosialis Malaysia, serta rakan seperjuangan dari PAS, Keadilan dan juga TERAS telah turun bersama untuk memberitahu rakyat Kuala Kangsar yang ahli parlimennnya menggadaikan hak rakyat Malaysia kepada Amerika.

Proses pemberian risalah berjalan dengan lancar dan kebanyakkannya risalah telahpun diedarkan kepada orang awam di Kuala Kangsar. Risalah disambut dengan baik oleh orang ramai. Ada juga orang yang tanya “Mengapa selepas Merdeka selama 50 tahun, mahu minta penjajah baru masuk?”

Dalam masa kami hendak habis mengedarkan risalah, tiba –tiba pada pukul 9.45pagi, Ketua Inspektor OCS Azri bersama 2 orang pegawai polis cuba menahan Saudara Choo Shinn Chei dari kumpulan RAKAN, Johor dan merampas risalah yang dipegang olehnya. Tindakan melampau dan tidak profesional ini dibantah dan berjaya dihalang oleh komrad-komrad lain. Apabila ditanya mengenai tindakannya, Inspektor Azri mengatakan pemberian risalah ini adalah menyalahi undang-undang dan menyuruh kumpulan kami ke balai untuk berjumpa dengan OCPD. Apabila ditanya adakah kami ditahan , beliau mengatakan tidak, kami tidak ditahan, hanya OCPD yang hendak berjumpa dengan kami.

Maka, wakil-wakil gabungan setuju ke Balai Polis selepas minum teh dan bersarapan untuk berjumpa dengan Tuan OCPD En Zakaria. Semasa kami tengah minum teh, lebih kurang 10 orang anggota polis beruniform dan berpakaian biasa berkumpul di luar restoran dan malah ada juga yang memegang senapang rifal seolah-olah cuba menakutkan kami. Polis trafik juga dipanggil. Kesemua ini menunjukkan pihak polis dan juga pihak pemerintah sungguh tergugat dengan risalah yang kami edarkan itu.

Setelah kami sampai di Balai Polis Kuala Kangsar, kami dapati Tuan OCPD tiada disitu. Kami rasa sesuatu yang tidak kena, dan kami tunggu untuk jumpa Tuan OCPD. Pada masa itu , seorang pegawai Special Branch, ASP Rahman , meminta kami menyerahkan kad pengenalan kerana dia hendak membuat laporan polis terhadap kami. Apabila Dr. Kumar dari PSM menyoal kenapa mahu mengambil kad pengenalan kami setelah menjemput kami ke balai untuk berbincang dengan Tuan OCPD, ASP Rahman menengking dan menjerit ‘You Diam!’

Tindakan ASP ini ternyata melampaui batas, maka Dr Kumar, Saudari Saras dan Saudara Choo terus ke kaunter dan membuat aduan polis terhadap tindakan ASP Rahman yang bertindak kasar dan Inspektor Azri yang bertindak kasar dengan Saudara Choo dan telah membohong kepada kami yang Tuan OCPD menunggu kami di balai. Setelah itu “statement” kami di ambil dan kami dibenarkan pulang. Tuan OCPD pun kami tak jumpa. Semasa statement diambil, pihak polis menanya adakah kita mendapat kebenaran untuk mengedar risalah ini . Nampaknya polis di Kuala Kangsar tidak tahu bahawa kita tidak perlu ada kebenaran atau permit sesiapa untuk mengedarkan risalah.

Semasa kami di balai, apabila rakan-rakan seperjuangan dari Kuala Lumpur dan lain-lain tempat menelefon menanya status kami kepada pegawai Penyiasat Normala yang mengendalikan laporan kami, belaiu telah menjawab, dia tidak tahu kami ditahan atau tidak ,atau apa yang hendak dibuat seterusnya dan beliau tunggu arahan dari pihak atasan dan hanya Tuan OCPD yang boleh memberi penjelasan mengenai isu ini. Penjelasan Pegawai Normala telah memberi kepastian bahawa kami dipanggil ke balai polis atas arahan orang atasan dan polis tidak bertindak sendiri.

Keadaan di Kuala Kangsar dan juga tindakan pihak polis semasa risalah bantah FTA ini diedarkan jelas menunjukkan pihak pemerintah terutamanya ahli parlimen kawasan Kuala Kangsar iaitu Dato’ Sri Rafidah Aziz rasa kedudukkannya tergugat dengan risalah kami. Beliau rasa terancam apabila pembohongan beliau dalam isu US FTA ini terbongkar di kawasan parlimennnya dan takut akan kemarahan rakyat dikawasan parlimen beliau.

Peristiwa ini menujukkan isu US-Malaysia FTA ini bagaikan duri dalam daging untuk pihak pemerintah. Maka apa jua tindakan yang dilakukan oleh kita , besar atau kecil untuk membantah US FTA ini akan memberi tekanan kepada pihak pemerintah. Tekanan yang diberi inilah akan membawa kepada kemenangan kempen Bantah US –Malaysia FTA ini.

TOLAK US-MALAYSIA FTA !

TOLAK IMPERIALIS !

HIDUP RAKYAT !

Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)

0 Responses to “Dato' Sri Rafidah Aziz Tergugat dengan Kempen Bantah FTA”


  1. No Comments

Upcoming Events

For the best Bangkit.net viewing experience: