Contoh Surat Rayuan dan Aduan Polis terkandung di bawah.
Kampung Berembang yang terletak di Jalan Ampang ( berdekatan Hospital Gleneagles) diduduki oleh oleh lebih 50 keluarga selama 30-40 tahun. Pada 7/3/2007, kampung ini telah dirobohkan untuk kali yang ke -5 oleh pihak pemaju Permodalan Negeri  Selangor Bhd (PNSB) atas arahan Kerajaan Negeri Selangor dengan bantaun Polis dan FRU. Sebelum ini rumah penduduk Kampung Berembang dirobohkan pada 17/11/2006, 20/11/2006, 30/11/2006 DAN 05/03/2007
Latar Belakang
Pada tahun 2003, penduduk kampung telah dijanjikan rumah kos rendah yang akan diusahasama oleh Pemodalan Negeri Selangor Berhad , Acmar International dan Perspektif Masa Sdn Bhd. Rumah kos rendah ini adalah berhampiran dengan Kampung Berembang. Akan tetapi sehingga kini projek perumahan itu masih terbengkalai dan pihak pemaju tidak mengambil apa –apa langkah untuk menyiapkan projek rumah kos rendah tersebut.
Dalam keadaan ini, penduduk kampung telah diberi notis pada bulan 17/11/2005 untuk keluar dari kampung mereka. Akan tetapi, tiada rumah alternatif ditawarkan. Hanya rumah sewa ditawarkan, itupun di Puchong, lebih 30km daripada kawasan asal. Ini adaah bertentangan dengan polisi perumahan Selangor dimana rumah alternatif harus berada 2-4 km dari kampung asal.
Oleh kerana pihak pemaju Acmar International dan Perspektif Masa Sdn. Bhd serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya serta kerajaan negeri Selangor tidak menunaikan tuntutan penduduk kampung maka, injuksi diambil oleh penduduk kampung pada 6/3/2006 dan pada 14/11/2006 injuksi itu tamat. Penduduk juga telah mengambil kes keatas pemaju demi memperjuangkan hak ke atas tanah yang diduduki dan menuntut pampasan yang adil. Kes ini akan tahu keputusan pada Mei 2007.
Pada 4/10/06 penduduk Kampung Berembang telah membawa masalah mereka ke pengetahuan YB Menteri Ong Kah Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di mana YB menteri telah menjanjikan mereka untuk mengaturkan satu perjumpaan dengan YB Menteri Besar Selangor memandangkan Menteri Besar sahaja yang mempunyai kuasa ke atas isu tanah. Pada asasnya YB Menteri telah bersetuju bahawa pengusiran harus dihentikan sehingga satu rundingan dijalankan antara peneroka dan Menteri Besar  Selangor dan pemaju.
Berikutan dengan itu, pada 2/11/06 pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah mengaturkan satu perjumpaan dengan para peneroka bandar Selangor dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha SUK, Datuk Ramli. Dalam perjumpaan itu, wakil Kampung Berembang telah mengemukakan masalah projek perumahan yang ditawarkan belum siap tetapi rumah sudah mahu diroboh. Datuk Ramli telah  berjanji akan membuat satu siasatan terhadap projek perumahan dan bersetuju akan mensyorkan kepada kerajaan negeri untuk membenarkan mereka tinggal di kampong tersebut jika projek perumahan itu dijangka siap dalam  masa satu tahun. Tetapi apa yang menyedihkan sehingga hari ini, pihak SUK tidak memberi sebarang respons dalam kes ini.
Pada 14/11/06 pula, hakim mahkamah Tinggi Shah Alam telah menangguhkan kes mereka ke Mei 2007.
Dalam keadaan kes di mahkamah, dan projek perumahan kos rendah Berembang terbengkalai, pihak MPAJ bersama Majlis Perbandaran Selayang, RELA dan polis besubahat dengan pihak pemaju telah datang merobohkan rumah penduduk Kampung Berembang pada 17/11/2006. Akan tetapi para penduduk berjaya menghalangnya. Pihak MPAJ datang sekali lagi pada 20/11/2006 bersama polis dan FRU untuk mengusir secara paksa penduduk Kampung Berembang. Akan tetapi , penduduk teruskan perjuangan dengan mendirikan kembali rumah mereka yang dirobohkan untuk kali ketiga pada 30/11/207. Pada 5/3/2007, pihak pemaju bersama RELA telah menceroboh masuk ke kawasan Kampung Berembang dan cuba merobohkan rumah penduduk. Akan tetapi penduduk kampung berjaya menghalang perobohan tersebut walaupun kebanyakkan rumah telah dirobohkan. Pada 7/3/2007, pemaju atas arahan Kerajaan Negeri Selangor dengan bantuan lebih 200 polis dan FRU telah menceroboh ke Kampung Berembang dan dengan kejam telah merobohkan rumah penduduk yang tinggal dan mengusir mereka dari tanah mereka secara paksa. Ini semua dijalankan tanpa perintah mahkamah dan ia merupakan satu operasi haram.
Akan tetapi, perjuangan penduduk Kampung Berembang berterusan dimana pada masa sekarang, penduduk Kampung Berembang berkhemah di hadapan tanah kampung mereka. Lebih 20 khemah telah didirikan. Mereka bercadang untuk tinggal disana sehingga rumah alternatif tetap diberi.
Dalam kes ini secara sedar pihak MPAJ, Polis, serta Kerajaan Negeri Selangor bersubahat dengan pihak pemaju untuk merampas tanah orang kampung tanpa memberi rumah alternatif atau apa –apa gantirugi.
* Persoalannya mengapakah Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar Selangor  beria-ia untuk merobohkan rumah peneroka sedangkan kes masih dalam mahkamah?
* Lagipun rumah alternatif yang ditawarkan kepada penduduk Kampung Berembang belum siap dan pihak kerajaan negeri tidak memaksa pemaju untuk menyiapkan rumah kos rendah yang dijanjikan kepada penduduk 3 tahun yang lepas.
Apakah rasional tindakan-tindakan Kerajaan Negeri Selangor dan MPAJ yang mengusir penduduk Kampung Berembang secara paksa tanpa memberikan apa-apa gantirugi ataupun perumahan tetap?
TUNTUTAN PENDUDUK KAMPUNG BEREMBANG
1.     Hentikan semua tindakan mengusir secara paksa penduduk Kampung Berembang.
2.     Sediakan perumahan tetap untuk penduduk Kampung Berembang, 2-4 km dari kampung asal seperti yang terdapat dalam polisi perumahan negeri Selangor.
3.     MPAJ dan Kerajaan Negeri harus memberi gantirugi kepada penduduk kampung untuk rumah yang dirobohkan dan harta yang musnah.
4.     Segala penyelesaian dalam isu ini harus dibuat secara perundingan.
Apa yang anda perlu buat?
·        Hantar Surat Bantahan dan Rayuan Segera kepada pihak Menteri, SUK Selangor, RELA, SUHAKAM , dan Perdana Menteri supaya menghentikan pengusiran paksa dan menyediakan perumahan tetap untuk para penduduk Kg Berembang.
·        Buat laporan polis dikawasan anda mengenai tindakan kejam Polis, FRU dan Pemaju yang merobohkan rumah penduduk kampung pada 7/03/2007.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi: Kohila 019-2275982 @ Parames: 0136408159
Y.A.B. DATO’ SERI DR MOHAMAD KHIR BIN TOYO
Menteri Besar Selangor
Pejabat Menteri Besar Selangor Tingkat 21,
Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
40503 Shah Alam
Tel: 03-55141119/55447013 Fax: 55190032
E-mel : khir@selangor.gov.my
Datuk Seri Ong Ka Ting
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Paras 3-7, Blok K, Pusat Bandar Damansara,
50782 Kuala Lumpur
Tel: 03-2094 7033
Fax: 03-2094 9720
E-mail: menteri@kpkt.gov.my
Tan Sri Abu Talib bin Othman
Chairman
Malaysian Human Rights Commission of Malaysia (SUHAKAM)
Tingkat 29, Menara Tun Razak,
Jalan Raja Laut,
50350 Kuala Lumpur.
Tel: 03-2612 5600
Fax: 03-26125620
Email: humanrights@suhakam.org.my
Dato’ Zaidon Bin Haji Asmuni
Ibu Pejabat RELA Malaysia
Aras 6, Blok D2, Parcel D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Tel: 03-88863354
Fax: 03-88886314
YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Prime Minister’s Office
Perdana Putra Building
Fedearal Government Administrative Centre
62502 Putrajaya
Tel: 03 8888 8000
Fax: 03 8888 3444
E-mail: ppm@pmo.gov.my
Tuan,
HENTIKAN PENGUSIRAN PAKSA DAN SEDIAKAN PERUMAHAN ALTERNATIF TETAP KEPADA PENDUDUK KAMPUNG BEREMBANG.
Kami daripada ______________________________-,membantah tindakan Kerajaan Negeri Selangor dan PNSB yang bertindak untuk mengusir secara paksa penduduk Kampung Berembang . Kami juga membantah dengan kerasnya tindakan Kerajaan Negeri Selangor, Polis, FRU dan RELA yang bersubahat dengan pihak pemaju swasta dalam merobohkan rumah-rumah penduduk pada 5/03/2007 dan 7/03/2007.
Kampung Berembang yang diduduki oleh 50 keluarga lebih daripada 40 tahun, kini cuba diusir secara paksa di bawah Polisi Setinggan Sifar Negeri Selangor. Mereka  diberi notis keluar (Ordinen Darurat 69- pembersihan setinggan) sebelum rumah alternatif mereka siap dibina.
Projek perumahan kos rendah untuk penduduk Kampung Berembang, yang sepatutnya diusahakan oleh Acmar International, Perspektif Masa Sdn. Bhd dan Permodalan Negeri Selangor Bhd pula terbengkalai.
Dalam keadaan ini, apa rasional Kerajaan Negeri Selangor dan Pemaju dengan bantuan polis dan RELA dalam merobohkan dan mengusir penduduk kampong Berembang? Lagipun bagaimana agensi dan jentera kerajaan boleh digunakan untuk mengusir penduduk kampong dari tanah persendirian.
Kami juga mendapat tahu bahawa pihak pemaju telah membeli makanan untuk RELA, FRU dan polis. Ini adalah satu tindakan rasuah dan kami membantah tindakan kotor ini. Bagaimana pihak polis , FRU dan RELAÂ boleh bersubahat dengan pemaju swasta?
Maka demi menjaga kebajikan penduduk Kampung Berembang dan memastikan perumahan tetap diberikan kepada penduduk Kampung Berembang, kami menuntut :
1.     Hentikan semua tindakan mengusir secara paksa penduduk Kampung Berembang.
2.     Sediakan perumahan tetap untuk penduduk Kampung Berembang, 2-4 km dari kampung asal seperti yang terdapat dalam polisi perumahan negeri Selangor.
3.     Pemaju dan Kerajaan Negeri harus memberi gantirugi kepada penduduk kampung untuk rumah yang dirobohkan dan harta yang musnah.
4.     Segala penyelesaian dalam isu ini harus dibuat secara perundingan.
Kami harap satu penyelesaian yang baik bagi penduduk Kampung Berembang dapat dicapai melalui rundingan diantara semua pihak.
Yang Benar,
SAMPLE ADUAN POLIS
Aduan dibuat oleh :
Aduan dibuat terhadap: OCPD ACP Amer Awan Daerah Ampang, Timbalan OCPD Supt Fauzi, dan Ketua Balai Polis Ampang Jaya Tuan Marlino dan pasukan FRU.
Kami mendapat tahu bahawa pada 07/03/2007, pihak pemaju PNSB bersama polis dan FRU telah bertindak untuk mengusir secara paksa penduduk Kampung Berembang.
Para penduduk telah ditarik dengan kasar , ada yang dipukul dan kekerasan digunakan dalam merobohkan rumah mereka. Terdapat juga ramai penduduk kampong cedera dalam proses perobohan rumah ini. Seramai 5 orang juga ditahan semasa proses perobohan ini dan pihak polis juga telah menggunakan kekerasan terhadap beberapa orang yang ditahan.
Pihak polis yang sepatutnya menjaga keamanan rakyat dan memberi perlindungan kepada penduduk kampung telah membantu pemaju swasta dengan menggunakan kekerasan untuk mengusir penduduk kampung yang mempertahankan rumah mereka. Pihak Polis & FRU juga telah menyalahgunakan kuasa dimana jentera kerajaan digunakan untuk mengusir penduduk dari kawasan pemaju iaitu sebuah syarikat swasta.
Kami juga mendapat tahu bahawa pihak pemaju telah membelikan makanan untuk pihak polis dan FRU. Ini merupakan satu tindakan rasuah dimana pihak pemaju telah memberi rasuah kepada polis dan FRU . Maka ini jelas mengambarkan pihak Polis telah bersubahat dengan pemaju untuk mengusir penduduk kampung Berembang.
Perobohan rumah di Kampung Berembang adalah haram kerana pihak penduduk telah memfailkan kes di mahkamah. Kes ini hanya akan didengar pada bulan Mei 2007. Oleh itu, proses perobohan rumah dan penahanan yang dilakukan adalah tidak sah dan dilakukan dengan niat jahat. Pihak polis membantu pemaju walaupun dia tidak ada apa-apa arahan mahkamah untuk merobohkan rumah di Kampung Berembang.
Kami membuat aduan polis ini kerana kami membantah tindakan pihak Polis dan FRU dalam mengusir secara haram penduduk Kampung Berembang dengan menggunakan kekerasan. Kami juga ingin pihak polis menyiasat tindakan pihak Polis Daerah Ampang Jaya yang dipimpini oleh OCPD ACP Amer Awan,  Timbalan OCPD Supt Fauzi, dan Ketua Balai Polis Ampang Jaya Tuan Marlino dalam bersubahat dengan pemaju tanah Kampung Berembang dalam merampas tanah penduduk Kampung Berembang yang telah mereka terokai lebih 40 tahun dahulu.
0 Responses to “RAYUAN SEGERA :KAMPUNG BEREMBANG TELAH DIROBOH! PENDUDUK MENERUSKAN PERJUANGAN; BERTINDAK SEKARANG !”