1. Pada 14 Februari 2007, salah sebuah akhbar perdana telah mengeluarkan laporan mengenai satu temu bual eksklusif dengan bekas tahanan ISA, Syed Ali bin Syed Abdullah dengan tajuk “Saya sertai JI kerana dunia Islam tidak menentuâ€.
Temu bual serupa juga telah dibuat dengan Faiz Abu Bakar Bafana, seorang yang dilaporkan sebagai bekas anggota JI. Temu bual yang berupa seolah-olah satu pengakuan itu diatur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang juga bertanggungjawab ke atas penahanan seseorang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
2. Gerakan Mansuhkan ISA ingin merakamkan kesangsiannya dan kekecewaannya dengan motif temu bual tersebut.
Sayugia dimaklumkan dan didedahkan untuk pengetahuan umum bahawa Syed Ali sebenarnya masih belum bebas sepenuhnya daripada ISA. Beliau telah ditahan di bawah ISA pada 17 April 2002 atas tuduhan sebagai ahli Kumpulan Militan Malaysia (KMM) tetapi 21 hari selepas itu, tuduhan tersebut telah ditukar kepada ahli Jemaah Islamiyyah (JI).
Beliau telah dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting (KEMTA) pada 17 Oktober 2006 tetapi terpaksa melalui peraturan sekatan kawasan – satu peraturan yang biasa dikenakan terhadap bekas tahanan ISA untuk memastikan setiap pergerakan beliau terus diawasi oleh polis. Beliau tidak boleh keluar kawasan yang ditetapkan kecuali dengan kebenaran polis. Beliau juga perlu melaporkan diri ke Balai Polis berdekatan kediamannya setiap minggu. Jika beliau melanggar sebarang peraturan dan pelbagai lagi syarat lain, beliau boleh ditahan semula di bawah Seksyen 8 ISA dan dihumbankan ke KEMTA.
3. GMI ingin mempersoalkan, dalam konteks begini apakah agaknya perasaan dan state of mind Syed Ali apabila diatur untuk mengadakan temu bual eksklusif dengan media terutamanya dengan kerjasama PDRM? GMI meyakini bahawa pengakuan dan perakuan oleh suspek dalam tahanan atau bekas tahanan yang masih dalam perintah sekatan kawasan adalah tidak terjamin benar dan tidak boleh dipercayai.
Keadaan ini benar dan telah dirakamkan dalam dua kes iaitu Chng Suan Tze v. Minister of Home Affairs [1989] 1 MLJ 69 dan Teo Soh Lung v. Minister of Home Affairs [1990] 2 MLJ 129 di mana kedua-dua tahanan ISA berkenaan menfailkan aduan bahawa mereka telah membuat pengakuan melalui wawancara televisyen dalam keadaan tertekan dan pemaksaan.
4. GMI mengecam tekanan dan ancaman berterusan pegawai Cawangan Khas PDRM (SB) ke atas bekas tahanan dan keluarga. Bekas tahanan, terutamanya yang berada dalam sekatan kawasan, sebenarnya masih lagi dalam keadaan tertekan kesan dari penahanan yang lama di bawah ISA dan ancaman oleh SB samada kepada beliau atau kepada keluarga. Tanpa disedari, mungkin inilah antara saikologi dan taktik licik SB untuk mencorakkan pandangan umum tentang kononnya ISAlah penyelamat keamanan negara dan semua tahanan telah pulih dan insaf.
Bukankah penahanan tanpa bicara selama 4 tahun itu satu penganiayaan besar yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia ke atas tahanan ISA dan penahanan itu dikuatkuasakan oleh anggota SB yang menjadi alat utama supaya tahanan ISA menjadi manusia yang hanya tunduk dan patuh kepada SB yang sangat berkuasa dan bermaharajalela. Kini merekalah juga yang bekerjasama dengan pihak media untuk pengakuan oleh bekas tahanan.
5. GMI ingin merakamkan bahawa hakikatnya sudah banyak pengakuan dan afidavit oleh bekas tahanan ISA yang terdahulu yang membuktikan sebaliknya. Mereka diseksa, didera dan ditekan secara fizikal dan mental. Kebanyakan daripada pengakuan tersebut telah difailkan kepada SUHAKAM, Suruhanjaya Penambahbaikkan Perjalanan dan Pengurusan PDRM dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Ada perakuan daripada badan-badan tersebut khususnya SUHAKAM yang menandakan wujudnya elemen penyeksaan.
Malah terdapat kes-kes yang telah dibawa ke mahkamah untuk tuntutan saman dan ganti rugi penganiayaan. Turut didedahkan bahawa ada kesamaan taktik dan tatacara penyeksaan yang berlaku antara Kem Guantanamo yang terkenal itu dengan KEMTA serta penyeksaan ketika 60 hari pertama (di bawah Seksyen 73 ISA). Antaranya ialah:
a. Tahanan dibogelkan dan diperlakukan seperti binatang
b. Tahanan diberi pilihan minum air kencing atau makan tahi kucing
c. Tahanan dipukul, disepak dan diliwat menggunakan alat khas
d. Tahanan ditumbuk separuh mati (kes Anwar Ibrahim)
e. Tahanan disoal-siasat tanpa henti selama 72 jam sehingga pengsan
Ini hanya segelintir daripada penyeksaan yang berlaku. Oleh itu, bolehkah rumusan mudah oleh Utusan Malaysia bahawa PDRM tidak pernah menganiaya mana-mana tahanan di bawah ISA diterima?
6. GMI juga merakamkan beberapa fakta berikut yang dimaklumkan kepada SUHAKAM sepanjang usahanya menyelaraskan bantuan kepada keluarga mangsa ISA. Sepanjang penahanan, segala punca rezeki tahanan tertutup. Mereka diberi notis berhenti kerja, syarikat menjadi bangkrap dan berbagai masalah lagi. Lebih menyukarkan apabila orang lain yang mahu membantu keluarga juga diugut dan ditakut-takutkan oleh SB, yang mendakwa akan menangkap sesiapa saja yang membantu pengganas, imej yang diberikan pada tahanan.
Bukan itu saja, SB juga turut mengugut akan menangkap isteri tahanan jika mereka meminta tolong daripada NGO. Anak-anak mengalami tekanan jiwa dan perasaan sehingga ada yang terpaksa mendapatkan rawatan sakit jiwa di hospital kerajaan. Adakah ini yang dimaksudkan tiadanya penganiayaan? Adakah ini yang dimaksudkan PDRM membantu kehidupan tahanan dan keluarga?
7. GMI ingin menegaskan buat sekian kalinya bahawa ISA perlu dimansuhkan dan tidak boleh dijustifikasikan dengan apa juga sebab sekali pun. Undang-undang begini tidak bermakna kerajaan dan polis boleh mencabul hak asasi manusia dengan memenjarakan sesiapa sahaja tanpa bicara. Langkah-langkah pencegahan mesti berjalan seiring dengan usaha untuk menegakkan kebenaran, ketelusan dan keadilan. Tahanan ditahan tanpa bukti dan tanpa peluang pembelaan di atas tuduhan. Mereka sudah dianggap bersalah sebaik sahaja ditahan. Mereka kemudiannya didera, diseksa dan dipaksa untuk bersetuju dengan tuduhan tersebut. Apa ertinya pengakuan bersalah atau rasa insaf begini?
8. GMI menuntut supaya:
a. Akhbar bersikap jujur dan benar dengan membuat laporan menyeluruh dengan menemubual bekas tahanan ISA yang lain. GMI bersedia memberikan kerjasama mengatur temubual tersebut.
b. Pihak polis menghentikan serta-merta tindakan menekan, mengancam dan mengambil kesempatan daripada kelemahan keadaan bekas tahanan dan keluarga. Tindakan baling batu sembunyi tangan merupakan satu tindakan pengecut.
c. Kerajaan mengadakan tribunal tentang penganiayaan dalam tahanan di bawah ISA dan menjemput semua bekas-bekas tahanan ISA untuk memberikan keterangan. Ini bukanlah kali pertama tuntutan seperti ini dibuat.
d. Kerajaan membebaskan sepenuhnya tahanan ISA yang di bawah perintah sekatan kawasan. Tiada ertinya kebebasan jika masih berterusan diawasi, dipantau dan diancam secara langsung atau tidak langsung (saikologi).
e. Kerajaan membebaskan semua tahanan ISA atau bicarakan mereka di mahkamah
f. Kerajaan menutup KEMTA selari dengan saranannya menutup Kem Guantanamo.
Bebaskan Semua Tahanan ISA!!
Mansuhkan ISA!!!
Tutup Kem Tahanan Kamunting!!!
Yang benar,
Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi
Gerakan Mansuhkan ISA
TAHNIAH KEPADA GMI YANG TIDAK HENTI-HENTI MEMPERJUANGKAN GMI..
SAYA TELAH MENGIKUTI SEKIAN LAMANYA MENGENAI ISU INI DAN SEKILIAN ISU YANG BERKAITAN DENGAN HAK ASASI KAUM..NAMUN TIMBUL SEPERKARA YANG MASIH BELUM TERJAWAB…
BEGINI…ADA SEORANG YANG HEBAT…NAMUN SEWAKTU DI TAMPUKNYA BELIAU KELIHATAN SEBITU “MESRA” DENGAN “ISA”. TIADA BANTAHAN.. KINI…BELIAU JUGA BEGITU HEBAT..SAMA DENGAN GMI..
TIDAKKAH GMI PERASAN BAHAWA SIAPAPUN @ APA PUN YANG “HEBAT” AKAN TERUS MENGGUNAKAN MEKANISMA YANG SAMA SATU HARI DAN KETIKA NANTI..? PEMERHATIAN SAYA SEPERTI APA YANG DILAKUKAN OLEH KUASA BESAR DI BARAT..MEREKA MENGUTUK ISA DI NEGARA KITA….NAMUN AKHIRNYA MUNCUL “MOST IMPORTANT PERSON” @ YANG SEWAKTU DENGANNYA… MEREKA YANG TERKENA BAHANA INI….GHAIB ENTAH KEMANA….
INI SEBAGAI RENUNGAN BERSAMA..KITA BOLEH BERBEZA PENDAPAT..NAMUN JANGAN BERBEZA TINDAKAN KEATAS APA JUGA BENTUK PENJAJAHAN KEATAS NEGARA SECARA HALUS @ SECARA TERANGAN.
SEKIAN TERIMA KASIH..