Buku tulisan Sdr. S.Arutchelvan, dari Kuliah ke Jalanraya akhirnya dilancarkan di Malam Revolusinari Anak Muda anjuran Team Kebudayaan CDC-JKMI di Auditorium New Era College. Ya, akhirnya buku yang mengisahkan asal-usul perjuangan awal satu kumpulan pelajar bernama JKMI telah dilancarkan di tanah Kajang, tempat dimana kumpulan ini berasal dan terus memainkan peranan.
Buku yang mempunyai 224muka dan diterbitkan oleh Strategic Information and Research Development center (SIRD) dan JERIT Communications ini boleh diperolehi dalam pasaran dalam masa terdekat ini dengan harga RM 20.00.
Dalam pelancaran ringkas buku ini semasa Malam Revolusinari Anak Muda, satu sketsa simbolik dilakunkan dengan beberapa orang mahasiswa dengan megahnya memakai jubah dan memegang skrol (ijazah) mereka. Namun mata mereka terikat….terikat dari melihat penindasan, penyelewengan, kekejaman berlaku di hadapan mereka. Ini digambarkan dengan beberapa pekerja yang sedang bekerja ditindas oleh majikan kapitalis. Di skrin putih pula terpancar segala penindasan yang berlaku di dunia dan di tanahair..
Penindasan yang berleluasa ini menyebabkan mahasiswa tersebut tidak tahan lagi. Mereka membuka mata yang terikat dengan kain hitam dan lalu mengikat kain merah di kepala. Mahasiswa menunjukkan mereka sudah bersedia untuk menentang kekejaman dan penindasan. Selepas itu, mereka terus menyingkir majikan kapitalis yang menindas beberapa orang pekerja tadi.
Kemudian, para mahasisiwa memecahkan satu arca buku yang menggambarkan sistem pendidikan di Negara lalu mengeluarkan buku replika buku “Dari Kuliah Ke Jalan Raya” tersebut. Buku tersebut dipegang bersama-sama oleh mahasiswa dan pekerja di dalam lakonan simbolik itu tadi dan disambut dengan tepukan gemuruh para peserta.
Ya, buku “Dari Kuliah Ke Jalan Raya” ini menceritakan kisah benar bagaimana sekumpulan mahasiswa di UKM yang memecahkan sikap individualistik dan materialistik mahasiswa di kampus.Kumpulan ini mula membuat kerja-kerja kebajikan di luar kampus sesuatu yang bertentangkan dengan AUKU. Buku ini turut mengisahkan peralihan kumpulan pelajar tersebut dari kumpulan berlandaskan kebajikan, etnik, agama dan pendidikan kepada sebuah kumpulan berlandas kelas dan mula berjuang bersama rakyat serta segala cabaran yang dihadapi olehnya.
Buku yang ditulis oleh Sdr Arutchelvan, yang menjadi salah seorang pengasas JKMI dimana ia menceritakan pelbagai isu dan masalah yang dihadapi oleh kumpulan ini.
Mengikut K.Simon, Penasihat JKMI, ” Hari ini hanyalah pelancaran pengenalan sahaja. Satu pelancaran dan review buku akan diadakan pada bulan depan”. Pada hari pertama buku ini dilancarkan, lebihkurang 80 buah naskah sudah habis dijual.
Dikeluarkan Oleh:
Y.Kohila
Biro Penerbitan CDC
*
DAPATKAN NASKAH ANDA HARI DENGAN HARGA RM 20
UNTUK MEMBUAT TEMPAHAN SILA HUBUNGI KOHILA ; 019-2275982
Dari Kuliah Ke Jalanraya adalah satu cerita benar perjuangan satu kumpulan pelajar India di Universiti Kebangsaan Malaysia. Buku ini menceritakan bagaimana pada zaman mahasiswa kebanyakkanya bersifat indivialistik dan hanya mementingkan diri sendiri, terdapat juga satu golongan mahasiswa yang turun melibatkan diri dengan masyarakat akarumbi.
Dari Kuliah ke Jalanraya juga menceritakan bagaimana masalah sosial rakyat membentuk konflik dan pemikirkan radikal dikalangan mahasiswa. Mahasiswa yang pada mulanya pergi untuk mengajar masyarakat akhirnya balik dengan kesedaran bahawa mereka boleh belajar dari masyarakat. Buku ini menceritakan bagaimana pemikiran perkauman mahasiswa bertukar menjadi pemikiran kelas, bagaimana pandangan welfarist dan reformis dicabar oleh idea-idea revolusionari dan sosialis.
Selain daripada itu, Buku ini menceritakan pembentukan satu kumpulan mahasiswa sedar bernama JKMI dan bagaimana JKMI berdepan dengan pelbagai konflik dan tohmahan dari pihak pentadbiran Universiti, kumpulan mahasiswa formal, golongan agama dan juga masalah-masalah dalaman yang dihadapi oleh sebuah kumpulan.
Dari Kuliah ke Jalanraya harus dibaca oleh aktivis mahasiswa dan aktivis pelajar. Ia menceritakan konflik dan situasi yang dihadapi dan bagaimana setiap isu ini ditangani. Ia menceritakan untuk mara ke hadapan, kita harus berani dan mencabar idea-idea conservative dan mainstream. Tidak ada kemenangan tanpa perjuangan. Pemikiran radikal dan progresif tidak jatuh dari langit, ia tumbuh dari bawah dan dari pengalaman dan persekitaran.
0 Responses to “Buku "Dari Kuliah ke Jalanraya" kini telah dilancarkan - Tempahan Diterima!”