Wanita dan Kesihatan
(5th and final in WDC’s 5-Part Series on Forwarding Women’s Rights and Democracy)
Malaysia mempunyai rangkaian kemudahan rawatan kesihatan kerajaan yang luas, dan walau di kawasan luar bandar pun, penjagaan kesihatan asas mudah didapati. Sesungguhnya, hampir 90 peratus penduduk negara ini tinggal di dalam kawasan sekitar lima kilometer dari pusat rawatan kesihatan asas (Institut Kesihatan Umum, 1999 dan Bancian Kesihatan dan Pertumbuhan Kebangsaan – BKPK II Jilid 3).
Perangkaan Jabatan Statistik 2005 menunjukkan kadar kematian bayi ialah 5.1 bagi 1000 kelahiran, kadar kematian wanita mengandung pada 30 bagi 100,000 ibu bersalin (Kementerian Kesihatan, 2002), dan jangka hayat wanita ialah 76.2 tahun (Jabatan Statistik, 2005) – kesemuanya merupakan perangkaan yang memberangsangkan. Namun demikian, masih ada cabaran dalam memastikan supaya kaum wanita dapat menikmati rawatan kesihatan yang menjadi hak mereka.
Misalnya:
• Usaha berterusan untuk mengkorporatkan dan menswastakan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam akan menyebabkan meningkatnya bayaran yang akan dikenakan kepada pengguna dan hal ini akan lebih membebankan kaum wanita luar bandar yang miskin dan yang banyak bergantung kepada kemudahan rawatan kesihatan yang disediakan oleh Kerajaan;
• Lapan puluh peratus rakyat Malaysia bergantung kepada perkhidmatan hospital Kerajaan, tetapi jumlah doktor yang bertugas di sektor kesihatan awam hanyalah lebih sedikit daripada setengah jumlah doktor yang ada di negara ini ( BKPK II);
• Budaya dan agama dipergunakan untuk menafikan wanita hak kawalan ke atas kesihatan seksual dan reproduksi mereka.
Isu-Isu Utama
1. Laluan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan
Mengkorporatkan dan menswastakan perkhidmatan penjagaan kesihatan akan menyebabkan hal-hal yang berikut:
• Kos yang meningkat akan memberi kesan terhadap imbangan mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan. Contohnya, penswastaan lima perkhidmatan sokongan di hospital telah mengakibatkan peningkatan sebanyak 3.2 kali ganda kos penyelenggaraan mencuci pakaian dan kain linen, kejuruteraan, peralatan bio-medik dan sisa pembuangan klinikal.
• Jurang yang luas antara nisbah doktor dengan penduduk di luar bandar dan bandar. Dalam tahun 2002, nisbah doktor dengan penduduk di Wilayah Persekutuan ialah 1:407, manakala di Sabah pula ialah 1:2887 (Unit Perancang Ekonomi, Malaysia Quality of Life 2004, Kuala Lumpur).
• Perhijrahan cerdik pandai di kalangan doktor yang berpengalaman dan profesional kesihatan lain dari sektor awam ke sektor swasta. Antara penyebab berlakunya hal ini ialah gaji yang rendah, waktu bertugas yang panjang dan perkembangan pesat hospital swasta.
• Pekerja pendatang membayar kadar yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan tenaga kerja tempatan untuk kemudahan rawatan awam. Contohnya, tenaga kerja asing yang mengandung dikenakan bayaran pendahuluan setinggi RM600. Hal ini akan menyebabkan mereka enggan ke hospital sebaliknya mencari rawatan sendiri yang berkemungkinan besar akan membahayakan diri mereka.
2. Skim Insurans Kesihatan Nasional
Sehingga kini, maklumat mengenai cadangan skim ini belum lagi didedahkan kepada orang awam. Dengan ketiadaan maklumat ini, terdapat spekulasi awam akan kenaikan yuran pengguna. Ini pula mendatangkan kesan terhadap warga tua, golongan kurang berupaya, wanita, orang asal pribumi, penduduk miskin luar bandar dan bandar, para pekerja estet dan pendatang.
3. Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan yang kepekaan gender
• Kesihatan psikososial wanita tidak ditangani dengan secukupnya kerana terlalu menekankan aspek kesihatan reproduksi wanita, terutama mereka yang berada pada tahap masih subur pembiakan. Malangnya, wanita yang ‘tidak subur’ dibiarkan mengikut pendekatan sekarang.
• Pemahaman yang tidak mendalam tentang pentingnya ujian pap smear. Hal ini berlaku kerana ketidakbiasaan dan rasa takut dengan prosedur perubatan yang tidak diketahui dan pengalaman yang tidak selesa apabila menjalani prosedur tersebut.
• Orang muda di bawah umur 25 tahun, terutamanya wanita muda dan remaja perempuan mudah terdedah kepada pelbagai penyakit jangkitan seksual kerana pada peringkat ini aktiviti seksual mereka biasanya meningkat. Menurut Kajian Global Durex 2005 (www.durex.com), secara purata, remaja Malaysia mula belajar mengenai seks pada sekitar umur 15 tahun. Ini menunjukkan bahawa remaja Malaysia adalah di antara remaja yang paling lewat dididik mengenai pembelajaran seks di rantau ini.
Apa yang anda boleh lakukan:
• Berjumpa atau menulis kepada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negeri anda.
• Wujudkan kumpulan untuk berbincang mengenai keprihatinan anda atau sertai pertubuhan bukan kerajaan dalam kempen mereka.
• Memberitahu pandangan anda secara bertulis kepada Kementerian Kesihatan, dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Desak mereka untuk bertindak:
• Mewujudkan perkhidmatan rawatan kesihatan yang saksama dan utuh
• Memberhentikan rancangan menswastakan perkhidmatan perkhidmatan penjagaan kesihatan. Sebaliknya, meneruskan kemudahan penjagaan kesihatan awam yang ada sekarang kepada semua lapisan masyarakat - termasuk tenaga pekerja pendatang dan mengekalkan perkhidmatan kos rendah di hospital dan klinik kerajaan.
• Mengambil langkah untuk menangani semula ‘perhijrahan cerdik pandai’ yang terdiri daripada doktor, terutamanya doktor pakar, dari hospital kerajaan ke hospital swasta dan mencari jalan untuk mengimbangkan jurang nisbah antara doktor dan penduduk luar bandar dan bandar.
• Mengenalpasti mekanisme yang dapat memantau perkhidmatan penjagaan kesihatan yang diberikan supaya perkhidmatan yang berkualiti tinggi dalam kedua-dua sektor awam dan swasta dapat dikekalkan.
• Sumber Kerajaan harus diagihkan semula supaya perbelanjaan penjagaan kesihatan dinaikkan dari 3.8 peratus ke 5 peratus dari Keluaran Kasar Dalam Negeri, seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
• Mengambil pendekatan berunding dalam merumuskan cadangan Skim Insurans Kesihatan Kebangsaan
• Memastikan ketelusan dan pertanggungjawaban skim ini dengan mendedahkan maklumat penuhnya sebelum dilaksanakan.
• Menyertakan juga peranan masyarakat madani dalam perancangan Skim ini. Menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang peka terhadap wanita
• Memastikan supaya perkhidmatan penjagaan kesihatan kepekaan gender, mudah didapati dan tersedia untuk sepanjang kitaran hayat mereka, dari bayi sehinggalah ke umur tua.
• Meluaskan latihan yang kepekaan gender supaya petugasnya pada semua peringkat peka dan mempunyai sikap positif terhadap wanita dan sedar akan keperluannya, terutama sekali wanita di kalangan orang pelarian, pendatang, banduan, kumpulan bawah umur yang aktif seks, pekerja seks, dan pengguna dadah.
• Mengendalikan program untuk membangkitkan kesedaran dan pendidikan seks untuk wanita dan menekankan kepentingannya bagi wanita dan remaja perempuan supaya mereka berupaya menentukan pilihan yang baik mengenai tubuh badan diri dan kesihatan mereka.
0 Responses to “Wanita dan Kesihatan”