(situation updates, saturday night: it’s reported that the access roads to kg berembang were not completely destroyed, dirt walls were put up but subsequently plowed through by the villagers, who are also now using a generator to supply power)
*
Oleh JERIT
(sila rujuk ke contoh laporan polis yang ada boleh buat; latar belakang kes yang lengkap juga disediakan di sini)
*KAMPUNG BEREMBANG TELAH DIROBOH! PENDUDUK MENERUSKAN PERJUANGAN*
* BERTINDAK SEKARANG ! *
02/12/2006
Kampung Berembang yang terletak di Jalan Ampang ( berdekatan Hospital Gleneagles) diduduki oleh oleh lebih 50 keluarga selama 30-40 tahun. Pada 20/11/2006 DAN 30/112006, kampung ini telah diroboh oleh pemaju Perspektif Masa Sdn Bhd, Cahaya Kelang Construction (subsidari Acmar International) dengan bantuan Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Polis dan FRU.
Pada tahun 2003, penduduk kampung telah dijanjikan rumah kos rendah yang akan diusahasama oleh Pemodalan Negeri Selangor Berhad, Acmar International dan Perspektif Masa Sdn Bhd. Rumah kos rendah ini adalah berhampiran dengan Kampung Berembang. Akan tetapi sehingga kini projek perumahan itu masih terbengkalai dan pihak pemaju tidak mengambil apa–apa langkah untuk menyiapkan projek rumah kos rendah tersebut.
Dalam keadaan ini, penduduk kampung telah diberi notis pada bulan 17/11/2005 untuk keluar dari kampung mereka. Akan tetapi, tiada rumah alternatif ditawarkan. Hanya rumah sewa ditawarkan, itupun di Puchong, lebih 30km daripada kawasan asal. Ini adaah bertentangan dengan polisi perumahan Selangor dimana rumah alternatif harus berada 2-4 km dari kampung asal.
Oleh kerana pihak pemaju Acmar International dan Perspektif Masa Sdn. Bhd serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya serta kerajaan negeri Selangor tidak menunaikan tuntutan penduduk kampung maka, injuksi diambil oleh penduduk kampung pada 6/3/2006 dan pada 14/11/2006 injuksi itu tamat. Penduduk juga telah mengambil kes keatas pemaju demi memperjuangkan hak ke atas tanah yang diduduki dan menuntut pampasan yang adil. Kes ini akan tahu keputusan pada 30 April 2007.
Pada 4/10/06 penduduk Kampung Berembang telah membawa masalah mereka ke pengetahuan YB Menteri Ong Kah Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di mana YB menteri telah menjanjikan mereka untuk mengaturkan satu perjumpaan dengan YB Menteri Besar Selangor memandangkan Menteri Besar sahaja yang mempunyai kuasa ke atas isu tanah. Pada asasnya YB Menteri telah bersetuju bahawa pengusiran harus dihentikan sehingga satu rundingan dijalankan antara peneroka dan Menteri Besar Selangor dan pemaju.
Berikutan dengan itu, pada 2/11/06 pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah mengaturkan satu perjumpaan dengan para peneroka bandar Selangor dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha SUK, Datuk Ramli. Dalam perjumpaan itu, wakil Kampung Berembang telah mengemukakan masalah projek perumahan yang ditawarkan belum siap tetapi rumah sudah mahu diroboh. Datuk Ramli telah berjanji akan membuat satu siasatan terhadap projek perumahan dan bersetuju akan mensyorkan kepada kerajaan negeri untuk membenarkan mereka tinggal di kampong tersebut jika projek perumahan itu dijangka siap dalam masa satu tahun. Tetapi apa yang menyedihkan sehingga hari ini, pihak SUK tidak memberi sebarang respons dalam kes ini.
Pada 14/11/06 pula, hakim mahkamah Tinggi Shah Alam telah menangguhkan kes mereka ke April 2007.
Sebaik sahaja kes telah ditangguhkan ke April 2007, pihak pemaju bersama lebih 200 pegawai MPAJ bersama Majlis Perbandaran Selayang, RELA dan Polis telah mencerobohi Kampung Berembang pada 17/11/2006 dan cuba merobohkan rumah penduduk. Penduduk kampong telah menentang dengan bersungguh-sungguh dan berjuang untuk menghentikan perobohan tersebut. Akibat penentangan penduduk kampong, hanya 2 rumah berjaya dirobohkan.
Dalam keadaan kes di makhamah, dan projek perumahan kos rendah Berembang terbengkalai, pihak MPAJ bersama Majlis Perbandaran Selayang, RELA dan polis besubahat dengan pihak pemaju telah datang merobohkan rumah penduduk Kampung Berembang pada 17/11/2006.
Akan tetapi para penduduk berjaya menghalangnya. Pihak MPAJ datang sekali lagi pada 20/11/2006 bersama polis dan FRU untuk mengusir secara paksa penduduk Kampung Berembang. Kali ini walaupun kes masih di mahkamah, mereka tidak mahu mendengar dan terus merobohkan rumah penduduk. Penduduk dan aktivis yang menghalang dipukul, ditahan dan ditolak.
Perkara ini berlaku sekali lagi pada 30/11/2006 semasa surau dirobohkan. Semua khemah penduduk dirobohkan. Bila ditanya kepada pihak MPAJ macamana boleh roboh tanpa disediakan rumah alternatif? Mereka telah mengatakan bahawa apabila penduduk mengambil kes di mahkamah, mereka telah hilang hak untuk mendapat pampasan atau rumah alternatif.
Pada masa sekarang, penduduk Kampung Berembang masih tinggal di kampung mereka dalam khemah. Mereka bercadang untuk membina semula rumah mereka dan berjuang hingga rumah alternatif tetap diberi. Akan tetapi pihak MPAJ sentiasa mengacau penduduk di sana dan sehingga kini tiada penyelesaian. Dalam kes ini secara sedar pihak MPAJ, Polis, serta Kerajaan Negeri Selangor bersubahat dengan pihak pemaju untuk merampas tanah orang kampung tanpa memberi rumah alternatif atau apa –apa gantirugi.
- Persoalannya mengapakah MPAJ beria-ia untuk merobohkan rumah peneroka sedangkan kes masih dalam mahkamah?
- Lagipun rumah alternatif yang ditawarkan kepada penduduk Kampung Berembang belum siap dan pihak kerajaan negeri tidak memaksa pemaju untuk menyiapkan rumah kos rendah yang dijanjikan kepada penduduk 3 tahun yang lepas.
- Apakah rasional tindakan-tindakan Kerajaan Negeri Selangor dan MPAJ yang mengusir penduduk Kampung Berembang secara paksa tanpa memberikan apa-apa gantirugi ataupun perumahan tetap?
* TUNTUTAN PENDUDUK KAMPUNG BEREMBANG *
* 1. **Hentikan semua tindakan mengusir secara paksa penduduk Kampung Berembang. *
* 2. **Sediakan perumahan tetap untuk penduduk Kampung Berembang, 2-4 km dari kampung asal seperti yang terdapat dalam polisi perumahan negeri Selangor. *
* 3. **MPAJ dan Kerajaan Negeri harus memberi gantirugi kepada penduduk kampung untuk rumah yang dirobohkan dan harta yang musnah. *
* 4. **Segala penyelesaian dalam isu ini harus dibuat secara perundingan. *
* Apa yang anda perlu buat? *
· *Buat laporan polis dikawasan anda mengenai tindakan kejam MPAJ, Polis dan FRU yang merobohkan rumah penduduk kampung pada 20/11/2006. *
.
* Untuk maklumat lanjut sila hubungi: Kohila 019-2275982 @ Parames: 0136408159. Sila hantar satu salinan rayuan segera kepada jerit2002[at]gmail[dot]com*
*Sample laporan polis di bawah*
Aduan dibuat oleh :
Aduan dibuat terhadap: Haji Mohammad bin Yacob , YDP Majlis Perbandaran Ampang Jaya, OCPD ACP Amer Awan Daerah Ampang Jaya , Timbalan OCPD Supt Fauzi, dan Ketua Balai Polis Ampang Jaya Tuan Marlinoor.
Kami mendapat tahu bahawa pada 30/11/2006 kira-kira jam 10.00pagi , pihak MPAJ bersama pihak polis serta pihak pemaju telah bertindak secara ganas terhadap penduduk Kg. Berembang semasa tindakan merobohkan surau kampung dan khemah penduduk tersebut.
Para penduduk telah dipukul teruk oleh pegawai-pegawai MPAJ hingga cedera. Malah wanita dan kanak-kanak didalam surau juga telah ditampar, dipukul, dan dipijak oleh pegawai lelaki MPAJ tanpa belas kasihan. Seramai 11 orang telah ditahan oleh pihak polis dengan kasar.
Pada sebelah tengahari pula, pihak polis yang diketuai oleh Tuan Marlinoor datang semula dan telah mengugut penduduk kampung yang masih berada disitu dan dengan sengaja mempamerkan gari. Perbuatan sengaja ini adalah semata-mata untuk menakutkan penduduk dan cubaan untuk mengugut penduduk kampung.
Sebelum itu, pada 20/11/2006, pihak MPAJ bersama polis dan FRU serta pemaju tanah Kampung Berembang telah bertindak untuk mengusir secara paksa penduduk Kampung Berembang.
Para penduduk telah dipukul dan kekerasan digunakan dalam merobohkan rumah mereka. Terdapat juga ramai penduduk kampong cedera dalam proses perobohan rumah ini. Seramai 23 orang juga ditahan semasa proses perobohan ini dan pihak polis juga telah menggunakan kekerasan dan memukul beberapa orang yang ditahan termasuk beberapa orang juvana.
Pihak polis yang sepatutnya menjaga keamanan rakyat dan memberi perlindungan kepada penduduk kampung telah membantu pihak MPAJ dengan menggunakan kekerasan untuk mengusir penduduk kampung yang mempertahankan rumah mereka. Pihak MPAJ juga telah menyalahgunakan kuasa dimana agensi kerajaan digunakan untuk mengusir penduduk dari kawasan pemaju iaitu sebuah syarikat swasta.
Kami juga mendapat tahu bahawa pihak pemaju telah membelikan makanan untuk pihak MPAJ dan polis pada kedua-dua hari ini. Ini merupakan satu tindakan rasuah dimana pihak pemaju telah memberi rasuah kepada MPAJ dan polis. Jentolak yang digunakan oleh MPAJ untuk merobohkan rumah penduduk dan surau adalah milik pemaju. Maka ini jelas mengambarkan pihak MPAJ dan Polis telah bersubahat dengan pemaju untuk mengusir penduduk kampung Berembang.
Perobohan rumah di Kampung Berembang adalah haram kerana pihak penduduk telah memfailkan kes di mahkamah. Kes ini hanya akan didengar pada bulan April 2007. Oleh itu, proses perobohan rumah dan penahanan yang dilakukan adalah tidak sah dan dilakukan dengan niat jahat.
Kami membuat aduan polis ini kerana kami membantah tindakan pihak MPAJ dan Polis yang ganas tanpa perikemanusiaan terhadap penduduk kampung Berembang dengan haram. Kami juga ingin pihak polis menyiasat tindakan pihak Polis Daerah Ampang dan MPAJ dalam bersubahat dengan pemaju tanah Kampung Berembang dalam merampas tanah penduduk Kampung Berembang yang telah mereka terokai lebih 40 tahun dahulu.
Kami mahu aduan ini disiasat oleh pegawai polis yang lebih kanan dan neutral dan tidak mahu siasatan dijalankan oleh IPD Ampang Jaya kerana mereka terlibat dalam operasi ini.
1 Response to “BUAT LAPORAN POLIS SEGERA UNTUK MEMBANTAH KEKEJAMAN POLIS DAN MPAJ DI KAMPUNG BEREMBANG! (latar belakang kes yang lengkap terkandung)”