BERTINDAK SEKARANG ! Rayuan Segera!

RAYUAN SEGERA :

KAMPUNG BEREMBANG TELAH DIROBOH! PENDUDUK MENERUSKAN PERJUANGAN!

BERTINDAK SEKARANG !

24/11/2006

Kampung Berembang yang terletak di Jalan Ampang ( berdekatan Hospital Gleneagles) diduduki oleh oleh lebih 50 keluarga selama 30-40 tahun. Pada 20/11/2006, kampung ini telah diroboh oleh pemaju Perspektif Masa Sdn Bhd, Cahaya Kelang Construction ( subsidari Acmar International) dengan bantuan Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Polis dan FRU.

Pada tahun 2003, penduduk kampung telah dijanjikan rumah kos rendah yang akan diusahasama oleh Pemodalan Negeri Selangor Berhad , Acmar International dan Perspektif Masa Sdn Bhd. Rumah kos rendah ini adalah berhampiran dengan Kampung Berembang. Akan tetapi sehingga kini projek perumahan itu masih terbengkalai dan pihak pemaju tidak mengambil apa –apa langkah untuk menyiapkan projek rumah kos rendah tersebut.

Dalam keadaan ini, penduduk kampung telah diberi notis pada bulan 17/11/2005 untuk keluar dari kampung mereka. Akan tetapi, tiada rumah alternatif ditawarkan. Hanya rumah sewa ditawarkan, itupun di Puchong, lebih 30km daripada kawasan asal. Ini adaah bertentangan dengan polisi perumahan Selangor dimana rumah alternatif harus berada 2-4 km dari kampung asal.

Oleh kerana pihak pemaju Acmar International dan Perspektif Masa Sdn. Bhd serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya serta kerajaan negeri Selangor tidak menunaikan tuntutan penduduk kampung maka, injuksi diambil oleh penduduk kampung pada 6/3/2006 dan pada 14/11/2006 injuksi itu tamat. Penduduk juga telah mengambil kes keatas pemaju demi memperjuangkan hak ke atas tanah yang diduduki dan menuntut pampasan yang adil. Kes ini akan tahu keputusan pada 30 April 2007.

Pada 4/10/06 penduduk Kampung Berembang telah membawa masalah mereka ke pengetahuan YB Menteri Ong Kah Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di mana YB menteri telah menjanjikan mereka untuk mengaturkan satu perjumpaan dengan YB Menteri Besar Selangor memandangkan Menteri Besar sahaja yang mempunyai kuasa ke atas isu tanah. Pada asasnya YB Menteri telah bersetuju bahawa pengusiran harus dihentikan sehingga satu rundingan dijalankan antara peneroka dan Menteri Besar Selangor dan pemaju.
Berikutan dengan itu, pada 2/11/06 pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah mengaturkan satu perjumpaan dengan para peneroka bandar Selangor dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha SUK, Datuk Ramli. Dalam perjumpaan itu, wakil Kampung Berembang telah mengemukakan masalah projek perumahan yang ditawarkan belum siap tetapi rumah sudah mahu diroboh. Datuk Ramli telah berjanji akan membuat satu siasatan terhadap projek perumahan dan bersetuju akan mensyorkan kepada kerajaan negeri untuk membenarkan mereka tinggal di kampong tersebut jika projek perumahan itu dijangka siap dalam masa satu tahun. Tetapi apa yang menyedihkan sehingga hari ini, pihak SUK tidak memberi sebarang respons dalam kes ini.
Pada 14/11/06 pula, hakim mahkamah Tinggi Shah Alam telah menangguhkan kes mereka ke April 2007.
Sebaik sahaja kes telah ditangguhkan ke April 2007, pihak pemaju bersama lebih 200 pegawai MPAJ bersama Majlis Perbandaran Selayang, RELA dan Polis telah mencerobohi Kampung Berembang pada 17/11/2006 dan cuba merobohkan rumah penduduk. Penduduk kampong telah menentang dengan bersungguh-sungguh dan berjuang untuk menghentikan perobohan tersebut. Akibat penentangan penduduk kampong, hanya 2 rumah berjaya dirobohkan.

Dalam keadaan kes di mahkamah, dan projek perumahan kos rendah Berembang terbengkalai, pihak MPAJ bersama Majlis Perbandaran Selayang, RELA dan polis besubahat dengan pihak pemaju telah datang merobohkan rumah penduduk Kampung Berembang pada 17/11/2006. Akan tetapi para penduduk berjaya menghalangnya. Pihak MPAJ datang sekali lagi pada 20/11/2006 bersama polis dan FRU untuk mengusir secara paksa penduduk Kampung Berembang. Kali ini walaupun kes masih di mahkamah, mereka tidak mahu mendengar dan terus merobohkan rumah penduduk. Penduduk dan aktivis yang menghalang dipukul, ditahan dan ditolak. Seramai 23 penduduk kampung dan aktivis ditahan polis dan ramai penduduk yang cedera dalam proses ini. Semua rumah penduduk dirobohkan. Bila ditanya kepada pihak MPAJ macamana boleh roboh tanpa disediakan rumah alternatif? Mereka telah mengatakan bahawa apabila penduduk mengambil kes di mahkamah, mereka telah hilang hak untuk mendapat pampasan atau rumah alternatif.

Pada masa sekarang, penduduk Kampung Berembang masih tinggal di kampung mereka dalam khemah. Mereka bercadang untuk membina semula rumah mereka dan berjuang hingga rumah alternatif tetap diberi. Akan tetapi pihak MPAJ sentiasa mengacau penduduk di sana dan sehingga kini tiada penyelesaian. Dalam kes ini secara sedar pihak MPAJ, Polis, serta Kerajaan Negeri Selangor bersubahat dengan pihak pemaju untuk merampas tanah orang kampung tanpa memberi rumah alternatif atau apa –apa gantirugi.

  • Persoalannya mengapakah MPAJ beria-ia untuk merobohkan rumah peneroka sedangkan kes masih dalam mahkamah?
  • Lagipun rumah alternatif yang ditawarkan kepada penduduk Kampung Berembang belum siap dan pihak kerajaan negeri tidak memaksa pemaju untuk menyiapkan rumah kos rendah yang dijanjikan kepada penduduk 3 tahun yang lepas.

Apakah rasional tindakan-tindakan Kerajaan Negeri Selangor dan MPAJ yang mengusir penduduk Kampung Berembang secara paksa tanpa memberikan apa-apa gantirugi ataupun perumahan tetap?

TUNTUTAN PENDUDUK KAMPUNG BEREMBANG

1. Hentikan semua tindakan mengusir secara paksa penduduk Kampung Berembang.

2. Sediakan perumahan tetap untuk penduduk Kampung Berembang, 2-4 km dari kampung asal seperti yang terdapat dalam polisi perumahan negeri Selangor.

3. MPAJ dan Kerajaan Negeri harus memberi gantirugi kepada penduduk kampung untuk rumah yang dirobohkan dan harta yang musnah.

4. Segala penyelesaian dalam isu ini harus dibuat secara perundingan.


Apa yang anda perlu buat?

0 Responses to “BERTINDAK SEKARANG ! Rayuan Segera!”


  1. No Comments

Upcoming Events

For the best Bangkit.net viewing experience: